Khamis, 11 Julai 2019 | 7:55pm
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan meraikan ulang tahun kelahiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Istana Negara, hari ini. - Foto BERNAMA

Agong, Raja Permaisuri Agong berkenan sambut hari jadi PM, isteri

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, hari ini menerima kejutan daripada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong yang berkenan menganjurkan sambutan hari jadi secara mengejut untuk mereka di Istana Negara, di sini hari ini.

Detik-detik istimewa itu berlangsung selepas penyampaian Darjah Yang Maha Utama Darjah Kerabat Diraja Malaysia (DKM) kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada istiadat yang sama, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menerima Darjah Utama Seri Mahkota Negara (DMN).

Istiadat persembahan darjah kebesaran kepada Seri Paduka berdua disampaikan Perdana Menteri, Dr Mahathir yang mewakili kerajaan.

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan meraikan ulang tahun kelahiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, di Istana Negara. - Foto BERNAMA

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kiri) dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, meraikan ulang tahun kelahiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah, di Istana Negara. - Foto BERNAMA

Dr Mahathir kelihatan benar-benar terkejut apabila kek khas bersama pulut kuning dibawa masuk ke dalam bilik untuk meraikan hari ulang tahun kelahiran beliau yang ke-94 yang tarikhnya jatuh semalam.

Dr Siti Hasmah pula akan menyambut hari ulang tahun kelahiran yang ke-93 esok.

Seri Paduka berdua berkenan berangkat menyertai majlis itu sebaik para hadirin menyanyikan lagu ‘Selamat Hari Jadi’ kepada Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah pada acara memotong kek.

Kek berbentuk piano berwarna hitam dan putih itu dihiasi dengan bunga-bungaan, sebuah biola mini, sekeping nota muzik dan buku-buku, mungkin untuk menggambarkan kegemaran Dr Mahathir membaca dan kecintaan Dr Siti Hasmah kepada muzik.

Perdana Menteri dan isteri yang mendirikan rumah tangga sejak 63 tahun lalu, kemudian saling menyuapkan potongan kek dan saat-saat bahagia itu turut berkenan disaksikan Al-Sultan Abdullah dan Tuanku Azizah.

Turut hadir menyaksikan kedua-dua istiadat ialah Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dan Menteri Besar Pahang Menteri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. - BERNAMA

Berita Harian X