Khamis, 11 Julai 2019 | 5:28pm
PENGARAH Maritim Malaysia Sabah, Laksamana Muda Kamaruszaman Abu Hassan menunjukkan peralatan bom ikan yang dirampas pada sidang media di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto ihsan Maritim Malaysia
PENGARAH Maritim Malaysia Sabah, Laksamana Muda Kamaruszaman Abu Hassan menunjukkan peralatan bom ikan yang dirampas pada sidang media di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto ihsan Maritim Malaysia

Maritim Malaysia lancar operasi khas jejak pengebom ikan

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melancarkan Op Khas Jejak Pengebom Ikan di Perairan Kota Belud dan Perairan Teluk likas yang dikenalpasti antara lokasi panas kegiatan itu.

Pengarah Maritim Malaysia Sabah, Laksamana Muda Kamaruszaman Abu Hassan, berkata operasi itu turut mensasarkan usaha mengekang pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penggunaan pam bot haram di kawasan perairan negeri ini.

Katanya, pemilihan kedua-dua lokasi itu susulan aduan diterima daripada penyelam skuba yang menyuarakan kebimbangan berhubung aktiviti pengebom ikan di pusat pelancongan sekitar perairan ini.

“Operasi ini dijalankan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Sabah dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah. Ia bertujuan untuk melumpuhkan aktiviti pengeboman ikan oleh PATI, sekali gus menyekat peraih yang membeli hasil ikan di kawasan Teluk Usukan, Kota Belud.

“Hasil operasi di Pasar Besar Kota Belud semalam membawa kepada rampasan pelbagai jenis ikan seberat 30 kilogram yang dijual kepada orang awam dipercayai ditangkap menggunakan kaedah bom ikan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Kamaruszaman berkata, tiada tangkapan dilakukan setakat ini selepas peraih dan penjual ikan di pasar berkenaan berjaya meloloskan diri sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 26 Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan denda RM20,000 atau penjara selama dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kes juga boleh disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Bahan-bahan Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357),” katanya.

Sementara itu, Kamaruszaman berkata, pihaknya sudah mengenalpasti beberapa lokasi ‘panas’ yang sering dijadikan tempat menangkap ikan menggunakan bom ikan.

Katanya, Maritim Malaysia akan mengandakan usaha menjalankan operasi bagi membanteras kegiatan ini yang bukan saja membahayakan nyawa orang awam, bahkan turut merosakkan ekosistem hidupan laut.

“Mengikut statistik, Maritim Malaysia berjaya menahan 11 individu bagi tahun 2018 manakala bagi tahun ini pula kita sudah menahan tiga individu membabitkan kesalahan aktiviti bom ikan.

“Justeru, kita menyeru komuniti maritim supaya membantu menyalurkan sebarang maklumat berhubung kegiatan jenayah ini untuk tindakan penguatkuasaan segera,” katanya.

Berita Harian X