Rabu, 10 Julai 2019 | 4:22pm
Anwar Ibrahim ketika ditemui pemberita pada Persidangan Dewan Rakyat di lobi Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
Anwar Ibrahim ketika ditemui pemberita pada Persidangan Dewan Rakyat di lobi Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

Terus guna Akta Hasutan tidak gambarkan reformasi PH - Anwar

KUALA LUMPUR: Penggunaan Akta Hasutan secara berterusan serta hukuman berat dikenakan berdasarkan akta itu tidak melambangkan reformasi yang diperjuangkan Pakatan Harapan (PH).

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata hukuman penjara setahun terhadap pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin yang didakwa di bawah Akta Hasutan, adalah terlalu berat.

Katanya, rakyat perlu menjaga sistem Raja Berperlembagaan di negara ini, namun sedikit ruang perlu diberikan kepada rakyat untuk menyatakan pandangan dalam isu membabitkan istana.

“Kita harus jaga sistem Raja Berperlembagaan, mesti ada semangat menghormati dan jaga peraturan, tetapi ruang itu harus diberikan, walaupun terbatas.

“Malah, PH konsisten menolak undang-undang yang rakus, kejam. Saya lahirkan rasa tidak puas hati dengan pendakwaan berterusan dan hukuman yang agak keras.

“Ini tidak melambangkan sentimen baharu, bermakna kerangka pemikiran usang, lapuk, jumud itu nampaknya masih wujud dalam pentadbiran dan sistem negara,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam yang memenjarakan Wan Ji selama setahun, selepas menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, tujuh tahun lalu.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, isu penggunaan Akta Hasutan itu perlu ditangani dengan baik dan beliau akan membangkitkannya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berita Harian X