Rabu, 10 Julai 2019 | 7:42am
TAHAR Pilus (dua dari kanan) melihat carta pergerakan kemasukan jemaah haji ke maktab TH baru-baru ini.
TAHAR Pilus (dua dari kanan) melihat carta pergerakan kemasukan jemaah haji ke maktab TH baru-baru ini.

Sistem pengurusan kamar berkomputer jimatkan masa jemaah haji

KUALA LUMPUR: Sistem pengurusan kamar berkomputer di maktab penginapan kelolaan Lembaga Tabung Haji (TH) di Makkah menjimatkan masa jemaah haji menunggu untuk ditempatkan di kamar masing-masing.

Pengarah Operasi Maktab TH, Datuk Tahar Pilus, berkata melalui sistem yang mula dilaksanakan pada musim haji tahun ini, pihak TH akan menentukan kamar jemaah haji masing-masing dua hari sebelum jemaah itu tiba di Makkah.

“Sebelum ini, jemaah haji terpaksa menunggu beberapa jam juga sehingga diberikan kamar penginapan masing-masing tetapi melalui sistem berkomputer ini, kamar jemaah itu ditentukan terlebih dulu dan diuruskan sistem berkomputer berbanding secara manual.

“Jadi, dengan sistem ini kita jangka masa menunggu jemaah sebelum ditempatkan di kamar itu dapat dipendekkan sehingga kira-kira 30 minit,” katanya pada sidang media di Makkah hari ini dan rakaman temubual itu dikongsikan TH kepada Bernama.

Seramai 30,200 jemaah haji Malaysia akan mengerjakan Rukun Islam kelima itu, dengan TH bersama 640 petugasnya, memastikan operasi haji berjalan lancar.

Bagi musim haji tahun ini, TH menyediakan 62 penerbangan sewa khas yang akan membawa jemaah haji sehingga 4 Ogos depan.

Tahar berkata TH menyediakan sembilan maktab penginapan di Makkah untuk jemaah haji Malaysia dan 60 petugas TH bagi memastikan kebajikan jemaah haji di maktab tebabit.

“Di pusat perkhidmatan maktab, pihak TH bertanggungjawab beri kebajikan kepada jemaah haji, berikan bimbingan ibadah dan jemaah dinasihatkan mengikuti kuliah bimbingan disediakan guru bimbingan TH. Selain itu juga disediakan khidmat kaunseling selain makan minum.

“Terdapat juga perkhidmatan luar seperti Pos barangan jemaah haji, dobi, iTalk dikendalikan TM dan kafeteria makanan ala Malaysia di setiap bangunan penginapan jemaah haji,” katanya sambil menambah kumpulan pertama jemaah haji Malaysia tiba di Makkah semalam.

Beliau berkata jemaah haji dinasihatkan supaya menjaga diri mereka ketika di Tanah Suci, menjaga kebersihan persekitaran dan menjaga kesihatan diri dengan cabaran cuaca panas mencecah 40 darjah celsius di Tanah Suci ketika ini. - BERNAMA

Berita Harian X