Selasa, 9 Julai 2019 | 4:54pm
MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub. NSTP/Salhani Ibrahim

3 model dikenal pasti laksana dasar penyatuan tanah sawah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani setakat ini mengenal pasti empat model yang sesuai untuk diterapkan bagi menjayakan dasar penyatuan tanah sawah sebagai langkah meningkatkan pendapatan golongan itu.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub, berkata model pertama adalah dengan memberi tumpuan kepada pesawah yang berupaya mengurus tanah mereka seluas lima hektar dengan cemerlang dan mampu meraih pendapatan sehingga RM4,000 sebulan.

Katanya, model kedua ialah dengan menggalakkan usahawan muda menyertai sektor tanaman padi yang membabitkan sawah seluas 50 hektar dengan pendapatan yang diunjurkan adalah RM15,000 sebulan.

Beliau berkata, model ketiga pula adalah memberikan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau sektor swasta swasta sawah berkapasiti 200 hektar, 500 hektar sehingga 1,000 hektar untuk diusahakan.

"Kita juga menimbang beberapa model lain seperti projek penanaman padi dilaksanakan PPK Lahar Bubu di Pulau Pinang yang berjaya menyatukan 756 hektar sawah membabitkan 429 peserta yang diuruskan secara mini estet.

"Kementerian juga memberi perhatian kepada model FELCRA yang berjaya mewujudkan estet padi sebagai cara membantu pesawah menjana pendapatan," katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PH-Jerlun) dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mukhriz bertanya apakah model akan diguna pakai untuk melaksanakan dasar penyatuan tanah dan jaminan terhadap kepentingan tuan tanah, pesawah dan kerajaan dalam dasar ini.

Salahuddin memberi jaminan, dasar penyatuan tanah sawah yang hendak dilaksanakan kementerian tidak akan mengubah status dan hak milik tanah berkenaan dengan pemiliknya.

"Apa pun model yang dikemukakan kepada petani, ia bertujuan meningkatkan pendapatan mereka. Tanah mereka tidak akan terusik dan tergadai.

"Urusan penyatuan tanah ini juga tidak membabitkan proses perundangan yang menyulitkan pesawah," katanya.

Berita Harian X