Isnin, 8 Julai 2019 | 3:24pm
Antara laporan mengenai kegiatan bom ikan dalam BH Online.
Antara laporan mengenai kegiatan bom ikan dalam BH Online.

Kementerian tentukan kaedah kekang kegiatan bom ikan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani masih menunggu hasil siasatan polis terhadap insiden tiga penyelam, termasuk dua pelancong China yang terbunuh di perairan Semporna pada Jumaat lalu yang disebabkan aktiviti pengeboman ikan sebelum mengambil tindakan lanjut.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub, berkata kejadian seperti itu jarang berlaku tetapi kementerian perlu menentukan tindakan susulan bagi mengekang kegiatan itu yang masih berleluasa di sesetengah lokasi.

“Kita perlu tunggu laporan penuh polis. Saya yakin polis boleh menyiasat perkara ini dengan pantas.

“Saya juga akan berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sabah.

“Kita perlu kenal pasti siapa individu dan kumpulan yang terbabit dalam aktiviti ini, supaya kita boleh bertindak selepas ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah dilaporkan mengesahkan tiga individu, iaitu dua pelancong warga China dan seorang jurulatih selam tempatan yang terbunuh di perairan Semporna Jumaat lalu, adalah akibat aktiviti pengeboman ikan oleh nelayan tempatan.

Media tempatan melaporkan kejadian didakwa berlaku antara jam 4 petang hingga 6 petang itu apabila ketiga-tiga mangsa menjalankan aktiviti selaman di perairan Semporna sebelum terkena bom ikan yang dibaling nelayan tempatan berhampiran lokasi mangsa menyelam.

Menurut laporan, pengendali bot yang membawa mangsa ke lokasi menyelam berhampiran Pulau Bum-Bum itu membuat laporan polis.

BH semalam memetik penyelam di kawasan itu sebagai berkata, aktiviti pengeboman ikan berleluasa sehingga dilihat menjadi ancaman besar kepada kelestarian alam dan kemapanan sektor pelancongan negeri ini.

Ketua penyelam, Ivan Martin dilaporkan berkata beberapa kali merasai sendiri kesan daripada pengeboman ikan ketika menyelam bersama rakan di perairan Mari-Mari Pulau Sepanggar.

Berita Harian X