Isnin, 8 Julai 2019 | 11:57am
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad. - Foto Asyraf Hamzah

Pilihan Raya Kerajaan Tempatan bukan dalam tempoh terdekat

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Kerajaan Tempatan tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat sehingga Kabinet membuat keputusan mengenainya dan persediaan komprehensif dilaksanakan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, berkata kementerian sedang dalam proses menyediakan kertas Kabinet mengenai pilihan raya itu dan dijangka dibentangkan sebelum hujung tahun ini.

"Kementerian akan membuat persediaan lebih menyeluruh dan komprehensif selepas mendapat keputusan Jemaah Menteri. Pilihan raya ini tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat sehingga keputusan Jemaah Menteri," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Azalina Othman (BN-Pengerang) di Dewan Rakyat hari ini.

Raja Kamarul Bahrin berkata, kerajaan perlu meminda beberapa undang-undang bagi melaksanakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan termasuk Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960 (Pindaan 1991) yang perlu diaktifkan semula dan dipinda, pindaan bagi Seksyen 10 dan 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976, pindaan akta serta peraturan di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan mewujudkan peraturan pilihan raya Kerajaan Tempatan.

"Sehingga kini, kementerian sudah melaksanakan tiga siri bengkel kajian kebolehlaksanaan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan pada 2018 dan 2019," katanya.

Menjawab soalan tambahan Azalina mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini bahawa Pilihan Raya Kerajaan Tempatan tidak akan diadakan kerana ia boleh mengundang konflik antara kaum dan jurang antara bandar serta luar bandar, Raja Kamarul Bahrin berkata, segala kajian sudah dibuat termasuk contoh yang dilaksanakan di negara Komanwel seperti Australia dan India serta bukan Komanwel seperti Amerika Syarikat (AS).

"Ini akan menjadi sebahagian daripada kajian yang akan dikemukakan untuk pertimbangan. Kita juga sudah dan sedang melihat akta yang perlu dipinda, selain mengadakan perbincangan dengan pihak tertentu seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, SPR, Peguam Negara dan pihak berkepentingan lain," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PH-Masjid Tanah) mengenai tindakan ke atas pemaju yang tidak mematuhi penyediaan keperluan infrastruktur bagi orang kurang upaya (OKU) yang diwajibkan dalam pembinaan bangunan, Raja Kamarul Baharin berkata, pemaju boleh didenda RM50,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun.

Beliau berkata, mereka juga boleh dikenakan denda tambahan tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan, di bawah Seksyen 70 (13)(c) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga boleh mengarahkan sesuatu bangunan yang belum memenuhi Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) ditambah baik seperti menyediakan infrastruktur bagi OKU.

Berita Harian X