Sabtu, 6 Julai 2019 | 1:51am
Menteri Pelancongan, Datuk Mohamaddin Ketapi. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Bom ikan ragut tiga nyawa, menteri ucap takziah

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan nelayan tempatan melakukan aktiviti pengeboman ikan sehingga mengakibatkan dua pelancong warga China dan seorang jurulatih selam tempatan terbunuh di perairan Semporna, hari ini.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi, mahu pihak bersalah dikenakan hukuman setimpal dan aktiviti tersebut dihentikan segera sebelum banyak lagi nyawa terkorban.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah dilaporkan mengesahkan kejadian itu.

Media tempatan melaporkan kejadian didakwa berlaku antara jam 4 petang hingga 6 petang itu apabila ketiga-tiga mangsa menjalankan aktiviti selaman di perairan Semporna sebelum terkena bom ikan yang dibaling nelayan tempatan berhampiran lokasi mangsa menyelam.

Menurut laporan, pengendali bot yang membawa mangsa ke lokasi menyelam berhampiran Pulau Bim-Bum itu membuat laporan polis.

Mohamaddin berkata, perbuatan dan aktiviti itu tidak hanya membahayakan pelancong malah akan turut mengganggu ekosistem di perairan berkenaan.

“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan sedang menunggu laporan penuh polis berhubung kejadian terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Beliau berkata aktiviti bom ikan bukan perkara baharu kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) telah memaklumkan kejadian seumpama itu sebelum ini.

“Apa yang lebih penting buat masa ini adalah memastikan keselamatan perjalanan dan aktiviti pelancong yang sedang bercuti di kawasan terbabit sentiasa terjamin,” katanya. – BERNAMA

Tiga penyelam termasuk dua pelancong China maut

Berita Harian X