Jumaat, 5 Julai 2019 | 11:13pm
Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke program Lembaran Emas: Songket dan Keringkam Sarawak yang berlangsung di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, malam ini. - Foto BERNAMA

Raja Permaisuri Agung berangkat ke program Lembaran Emas

KUCHING: Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berangkat ke program ‘Lembaran Emas: Songket dan Keringkam Sarawak’ yang berlangsung di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, malam ini.

Baginda diiringi isteri Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, merangkap Penaung Projek Inovasi dan Songket Keringkam Sarawak.

Raja Permaisuri meluangkan masa kira-kira 30 minit menyaksikan pameran di bangunan DUN itu yang memaparkan kesenian songket dan keringkam.

Ketika menyaksikan pameran itu, Raja Permaisuri Agong sempat beramah mesra bersama pempamer dan turut mengeluarkan hasil sulaman peribadi milik baginda untuk dipertontonkan kepada pempamer berkenaan.

Terdahulu, sebaik tiba, baginda berkenan menerima cendera kenangan daripada Juma’ani, sehelai selendang sulaman keringkam berwarna ungu muda.

Di Sarawak, keringkam atau ‘selendang keringkam’ bagi yang bersegi empat panjang dan ‘selayah’ untuk yang bersaiz pendek, biasanya dipakai oleh wanita untuk menutup kepala ketika menghadiri majlis rasmi seperti pertunangan dan perkahwinan.

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah melihat kesenian songket dan keringkam di bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak, malam ini. - Foto BERNAMA

Majlis Lembaran Emas berkenaan dilihat sebagai platform untuk memartabatkan industri songket dan keringkam tanah air ke persada antarabangsa.

Baginda turut berkenan menghadiri pertunjukan fesyen yang mempamerkan keunikan produk berasaskan songket dan keringkam Sarawak.

Pertunjukan fesyen itu menampilkan Raja Fesyen Malaysia iaitu Datuk Seri Bernard Chandran dan Ratu Fesyen Borneo, Datuk Tom Abang Saufi serta pengeluar songket terkemuka Sarawak - Tanoti House.

Raja Permaisuri Agong berlepas pulang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching kira-kira jam 11 malam tadi. - BERNAMA

Berita Harian X