Jumaat, 5 Julai 2019 | 6:20pm
LAM Thye ketika sidang media mengenai jenayah siber di bilik mesyuarat MCPF, Menara UOA. NSTP/Eizairi Shamsudin
LAM Thye ketika sidang media mengenai jenayah siber di bilik mesyuarat MCPF, Menara UOA. NSTP/Eizairi Shamsudin

AWASPADA bantu kes serangan siber

KUALA LUMPUR: Satu program khas akan dilancarkan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), bagi mencegah kes serangan siber mengakibatkan kerugian RM152.9 juta sejak Januari hingga Mei lalu.

Program Awas Media Sosial dan Permainan Dalam Talian (AWASPADA) itu bertujuan meningkatkan kesedaran pengguna melalui kempen berterusan dengan kerjasama pelbagai pihak.

Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), 4,385 kes dilaporkan bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini, dengan penipuan kewangan elektronik (e-kewangan) mencatatkan peningkatan jumlah kerugian paling ketara.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Siber MCPF, Profesor Mohamad Fauzan Noordin, berkata 631 kes dilaporkan pada 2017 dengan kerugian RM45.39 juta dan 376 kes pada 2018 (kerugian RM40.5 juta).

“Dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini, jumlahnya sudah mencecah 372 kes dan nilai kerugiannya melebihi nilai tahun lalu (RM40.6 juta).

“Peningkatan kes seperti ini cukup membimbangkan. Atas sebab itulah kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas mencari kaedah terbaik menangani masalah ini,” katanya pada sidang media di pejabat MCPF, hari ini. Turut hadir, Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye.

Mengulas lanjut, Mohamad Fauzan berkata berdasarkan kajian awal, Malaysia kini turut dilanda ketagihan ‘dadah digital’ yang mengakibatkan pengguna mudah terpedaya dengan penipuan di alam siber.

“Kita mahu memastikan pengguna tidak mudah terperangkap dengan mainan pelayar siber ini, contohnya seperti scam,” katanya yang mendesak syarikat telekomunikasi supaya lebih agresif memainkan peranan mereka.

“Setiap lebuhraya mempunyai kawasan rehat dan rawat, papan tanda arah tuju, peringatan had laju serta pelbagai amaran lain, supaya pengguna sedar dan lebih berhati-hati.

“Jadi, perkara sama perlu ada di ‘lebuhraya siber’ ini dan pengendalinya (syarikat telekomunikasi) mesti menyediakan kemudahan itu. Jangan biarkan pengguna bergerak terlalu bebas tanpa kawalan,” katanya.

Mengenai AWASPADA, katanya satu seminar khas akan diadakan bagi mencari pendekatan idea terbaik dan program itu akan dilancarkan secara rasmi pada September ini.

Setakat ini, program itu disertai pasukan penyelidik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), CyberSecurity Malaysia, Majlis Belia Malaysia (MBM), Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Pusat Jaringan Informasi Asia Pasifik (APNIC) serta sebuah badan bukan kerajaan dari Dubai.

INFO: KES SERANGAN SIBER DAN KERUGIAn

2017: 13,674 kes (RM266.25 juta)

2018 : 10,753 kes (RM398.60 juta)

2019 : 4,385 kes (RM152.96 juta)

Statistik 2019: (4,385 kes)

Berita palsu: 2

Perlindungan data peribadi: 13

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) (media sosial): 15

Penipuan telekomunikasi (talian/sms): 1,825

Penipuan e-kewangan: 372

Love Scam: 656

E-Dagang (belian dalam talian): 1,412

Harta intelek: 66

Bahan Lucah (Sek 292 Kanun Keseksaan): 24

Berita Harian X