Jumaat, 5 Julai 2019 | 6:17pm
KETUA Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Latheefa tidak mahu SPRM jadi 'punching bag'

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, tidak mahu lagi badan itu dijadikan ‘punching bag’ permainan politik, selain mahu mengubah persepsi umum bahawa setiap aduan yang diterima mesti berakhir dengan pendakwaan.

Beliau juga mahu mendidik masyarakat mengenai tugas sebenar SPRM, supaya tidak hanya dilihat sebagai agensi penguatkuasaan yang menerima aduan, menangkap dan menuduh individu terbabit rasuah serta salah guna kuasa.

“Selama ini, mungkin SPRM disebut sebagai agensi untuk orang ramai membuat aduan tapi pada masa sama, ia dijadikan ‘punching bag’ bagi permainan politik. Sikit-sikit, ada orang buat aduan di SPRM.

“Jadi, pada saya, inilah masanya untuk kita mendidik semula masyarakat mengenai apa sebenarnya tugas SPRM, bukan hanya sekadar tangkap dan tuduh tapi kita ada tugas berat yang termaktub dalam Akta SPRM 2009 iaitu untuk membuat program pencegahan dan pendidikan,” katanya.

Latheefa yang genap sebulan menjawat jawatan itu semalam, berkata demikian pada sesi temubual khas secara langsung di saluran radio dalam talian SPRM, MACC fm.

Latheefa berkata, persepsi umum menganggap setiap aduan yang diterima SPRM secara automatik akan dibawa sehingga pendakwaan sedangkan ada beberapa kekangan yang dihadapi agensi itu, antaranya ketiadaan keterangan dan bukti yang mencukupi.

“Apabila seseorang itu membuat aduan, ada tiga cara untuk memprosesnya. Jika aduan yang jelas dan kita ada keterangan, ia boleh terus kepada (membuka) kertas siasatan, namun ini jarang berlaku kerana banyak aduan berbentuk surat layang, yang memerlukan lebih pengesahan untuk maklumat.

“Selain itu, kita akan proses maklumat untuk risikan, maknanya kita dapat sedikit maklumat atau aduan yang perlukan risikan. Perkara ini kita tidak boleh beritahu orang luar, selain memastikan pemberi maklumat dilindungi sebelum bertindak.

“Mungkin kita terima ratusan aduan, namun bukan semua terus menjadi kertas siasatan. Ada kemungkinan (siasatan) peringkat separuh, namun kita tiada bukti serta keterangan mencukupi, kita terpaksa tutup siasatan dan buka semula siasatan bila mendapat maklumat baharu,” katanya.

Selain itu, bagi menambah baik operasi penguatkuasaan SPRM, Latheefa berkata pihaknya mahu memastikan sebarang aduan yang dibuat adalah tulen dan bukan semata-mata disebabkan dendam, untuk memalukan atau menghina sesiapa.

“Aduan adalah permulaan operasi supaya apa-apa siasatan dapat dilakukan dengan berkesan, bukan hanya membuang masa melayan aduan yang mungkin tidak ada asas,” katanya.

Menceritakan mengenai pelantikannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 4 Julai lalu yang menimbulkan perdebatan hangat, Latheefa berkata beliau sendiri sebenarnya terkejut dan mengambil masa seketika sebelum bersetuju menggalas tugas berat itu.

Beliau juga sudah menjangka penerimaan umum yang melihat pelantikannya itu sebagai lantikan politik dan luar biasa, namun tidak menyalahkan mereka kerana beliau sememangnya pernah terbabit dalam politik.

“Bagaimanapun, dari segi konteks yang perlu difahami, sudah lebih setahun saya lebih aktif sebagai Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty dan peguam hak asasi berbanding ahli politik.

“Saya juga tidak mengambil bahagian dalam pemilihan dan pilihan raya umum walaupun saya sudah menjadi ahli parti selama lebih 15 tahun, saya tidak pernah mengambil bahagian secara aktif sebagai ahli politik,” katanya.

Ditanya mengenai tiga perkara yang menggambarkan dirinya, Latheefa berkata, beliau sering digambarkan sebagai seorang yang garang, berterus terang dan ‘suka marah’.

“Ada persepsi itu dan saya tidak nafikan kemungkinannya. Bagaimanapun, ada yang melihat saya di internet dan televisyen, dan melihat satu aspek diri saya.

“Jadi, apabila melihat saya secara terus, mungkin ada perbezaan pandangan. Itu terpulang kepada mereka yang melihat,” katanya.

Berita Harian X