Jumaat, 5 Julai 2019 | 2:46pm

JAS beri kelulusan projek tambak laut selatan Pulau Pinang

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang menerima kelulusan bersyarat bagi projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) semalam.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata kelulusan dengan 72 syarat itu dimaklumkan menerusi surat yang dihantar JAS menerusi faksimili, kira-kira jam 2.30 petang semalam.

“Dengan ini saya mengesahkan kita sudah menerima kelulusan daripada JAS untuk melaksanakan projek PSR, semalam.

“Kelulusan itu diberikan dengan 72 syarat dan kita masih belum mengkaji apa syarat-syarat yang dinyatakan JAS.

“Mungkin kita akan mengadakan pertemuan dengan JAS pada minggu hadapan untuk meneliti semua syarat terbabit,” katanya pada sidang media di Ekspo Taiwan 2019 di sini, hari ini.

April lalu, kerajaan negeri menerima kelulusan dengan 18 nasihat daripada Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN), berhubung cadangan untuk melaksanakan PSR.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri yakin dapat mengikuti semua syarat ditetapkan JAS, meskipun berhadapan dengan kemungkinan kenaikan kos ketika pelaksanaannya.

“Syarat JAS agak banyak dan mencabar, malah lebih banyak daripada yang diberikan MPFN, tapi kita yakin dapat ikut semua syarat JAS ini.

“Saya juga akui, kita mungkin akan berhadapan dengan cabaran kenaikan kos. Apa yang lebih penting projek ini dapat dilaksanakan dengan selamat,” katanya.

Untuk rekod, Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek PSR dihantar kepada JAS pada pertengahan Jun lalu, selepas ia dibentangkan kepada awam selama sebulan bermula April lalu.

Ia dibina bagi membiayai pelbagai projek infrastruktur dalam Pelan Induk Pengangkutan (PIP), antaranya pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT), monorel, teksi air, kereta kabel, terowong dasar laut dan beberapa lebuh raya.

KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. NSTP/Danial Saad
KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. NSTP/Danial Saad
Berita Harian X