Khamis, 4 Julai 2019 | 7:25am
SYED Saleh Syed Abdul Rahman bergambar bersama petugas media pada Majlis Pelepasan Kumpulan Pertama Petugas Haji ke Tanah Suci di Kompleks TH Sepang. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
SYED Saleh Syed Abdul Rahman bergambar bersama petugas media pada Majlis Pelepasan Kumpulan Pertama Petugas Haji ke Tanah Suci di Kompleks TH Sepang. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Syukur dijemput kembali ke Tanah Suci - Azura Abas

SEPANG: “Januari lalu, saya kirim doa kepada rakan sekerja yang menunaikan umrah mohon supaya Allah S.WT meluaskan rezeki untuk kembali menunaikan ibadah di Tanah Suci. Alhamdulillah, doa dimakbulkan,” kata penulis khas New Straits Times (NST), Azura Abas.

Azura adalah antara 13 petugas media yang terpilih bagi membuat liputan ibadah haji, tahun ini termasuk dari Harian Metro; RTM; Kumpulan Media Prima dan Utusan Malaysia.

Kumpulan petugas media berkenaan bersama 483 bakal jemaah haji dijadual berlepas ke Madinah menerusi penerbangan KT01 (MH8100) kira-kira jam 5.30 pagi dan dijangka tiba jam 9 pagi (waktu Arab Saudi).

Majlis pelepasan kumpulan jemaah itu disempurnakan oleh Pengurus Besar Kanan Haji merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

AZURA Abas
AZURA Abas

Azura yang ditemui di Kompleks Tabung Haji, di sini hari ini berkata, dia menerima makluman daripada pengarang mengenai pemilihan namanya sebagai petugas media ke Tanah Suci iaitu sebulan selepas dia mengirim doa kepada rakan sekerjanya yang mengerjakan umrah.

“Pada Februari lalu, pengarang menghubungi saya memberitahu nama tersenarai sebagai petugas haji dan selepas membuat pemeriksaan perubatan, saya layak untuk bertugas sepanjang haji pada tahun ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Azura berkata, dia pernah ke Tanah Suci kali pertama sekitar tahun 2005 untuk mengerjakan ibadah umrah.

“Sekian lama saya merindui dan teringin untuk kembali sekali lagi menunaikan ibadah di sana. Rasa bersyukur apabila doa dimakbulkan oleh Allah sebagai tetamu di sana,” katanya.

Sementara itu, Pengarang Berita Kanan (Hal Ehwal Semasa dan Digital) Harian Metro, Yusri Abdul Malek, berkata dia sudah melalui beberapa siri persiapan dan persediaan sejak dua bulan lalu termasuk kursus intensif dan kursus perdana haji.

SEBAHAGIAN daripada petugas media ketika pemeriksaan pasport ketika majlis Pelepasan Kumpulan Pertama Petugas Haji ke Tanah Suci di Kompleks TH Sepang. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
SEBAHAGIAN daripada petugas media ketika pemeriksaan pasport ketika majlis Pelepasan Kumpulan Pertama Petugas Haji ke Tanah Suci di Kompleks TH Sepang. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

“Alhamdulillah, syukur atas peluang yang diberikan oleh Tabung Haji.

“Sejak 2012, Tabung Haji memilih Harian Metro sebagai rakan media bagi liputan ibadah haji termasuk menghantar seorang wakil ke Tanah Suci sepanjang musim haji berkenaan.

“Saya adalah wakil yang ketujuh bagi Harian Metro yang terpilih untuk membuat liputan musim haji,” katanya.

Katanya, dia berharap diberi kesihatan yang baik supaya dapat memberi liputan terbaik perjalanan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci buat tatapan waris dan ahli keluarga jemaah di tanah air.

Operasi haji bagi musim 1440H/2019M Fasa 1 merangkumi 62 penerbangan yang bermula pada hari ini dan akan berakhir pada 4 Ogos ini.

Berita Harian X