Jumaat, 28 Jun 2019 | 10:23pm
Setiausaha agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya (tengah) pada sidang media di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri BERSATU Melaka dan Majlis Perasmian Pejabat BERSATU Melaka di MITC, Ayer Keroh. - NSTP/Khairunisah Lokman
Setiausaha agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya (tengah) pada sidang media di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri BERSATU Melaka dan Majlis Perasmian Pejabat BERSATU Melaka di MITC, Ayer Keroh. - NSTP/Khairunisah Lokman

Pinda perlembagaan sebelum pemilihan BERSATU - Marzuki

AYER KEROH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) harus meminda beberapa klausa dalam perlembagaannya, sebelum mengadakan pemilihan parti yang dijangka pada tahun ini.

Setiausaha agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya, berkata bagi tujuan itu jawatankuasa tertinggi parti akan mengadakan mesyuarat agung tahunannya, bulan depan bagi membuat beberapa pindaan dalam perlembagaannya.

Beliau berkata, mesyuarat agung itu penting bagi membuat beberapa perubahan termasuk pindaan beberapa klausa bagi memperkukuhkan lagi parti berusia lebih dua tahun itu, sebelum dapat memutuskan pemilihan parti sebagaimana saranan Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pindaan perlembagaan ini penting untuk parti sebelum kita menetapkan tarikh pemilihan cawangan dan bahagian kerana masih banyak perlembagaan yang hendak dibuat pindaan.

“Jadi, kita tidak mahu media terlalu fokus kepada pemilihan ini, sebaliknya tumpuan sekarang adalah pada pindaan perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri BERSATU Melaka dan Majlis Perasmian Pejabat BERSATU Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka yang juga Ketua Menteri, Adly Zahari dan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Melaka, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Dr Mahathir sebelum ini berpendapat yang pemilihan BERSATU perlu diadakan lebih awal memandangkan kepemimpinan yang ada kini adalah dilantik.

Perdana Menteri berkata, pemimpin yang dipilih secara lantikan sukar untuk mengembangkan parti itu.

Mengulas pandangan Dr Mahathir itu, Marzuki berkata, apa yang dilontarkan negarawan itu adalah betul kerana ramai dalam kalangan pemimpin parti khususnya di peringkat bahagian dilantik kurang menunjukkan komitmen, sekali gus membantutkan perkembangan parti yang kini mencecah hampir 500,000 ahli, dengan lebih 2,000 cawangan dan 198 bahagian termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Saya sebagai Setiausaha Agung BERSATU akan cuba mencari kaedah untuk mempercepatkan (pemilihan).

“Maka, kita akan mengadakan pemilihan secepat mungkin supaya terlahir pimpinan baharu yang lebih agresif, yang lebih memahami dan lebih memberi komitmen tentang perkembangan parti BERSATU itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, Mohd Redzuan berkata, BERSATU Melaka yakin kewujudkan pejabat baharu itu mampu menunjukkan perkembangan positif serta keutuhan parti itu yang semakin diterima rakyat.

“Setakat ini, BERSATU Melaka sudah mempunyai seramai 20,000 keahlian yang menjadi penggerak utama untuk bersama kepemimpinan parti mencapai kejayaan untuk pembangunan negeri dan negara,” katanya.

Berita Harian X