Sabtu, 22 Jun 2019 | 11:01pm
Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Lembah Pantai di Pusat Komuniti Pantai Eco Park, Lembah Pantai. - Foto Aizuddin Saad
Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Lembah Pantai di Pusat Komuniti Pantai Eco Park, Lembah Pantai. - Foto Aizuddin Saad

Isu peralihan kuasa selesai - Anwar

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu peralihan kuasa antara beliau dan Tun Dr Mahathir Mohamad, dianggap selesai.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau dan Perdana Menteri memiliki persefahaman yang utuh berhubung isu berkenaan.

“Saya dengar seluruh kenyataan Tun Dr Mahathir, sebagai Perdana Menteri beliau bertanggungjawab menguruskan ekonomi (negara) tetapi soal peralihan kuasa dan perjanjian melepaskan jawatan itu sangat tegas.

“Saya berpuas hati dengan beberapa pertemuan antara saya dan Tun Dr Mahathir, benda ini (soal peralihan kuasa) selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Lembah Pantai di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.

Anwar berkata, Dr Mahathir tidak perlu memberitahu semua perkara berhubung soal peralihan kuasa tetapi memadai dengan persefahaman antara mereka berdua.

“Kamu (media) tidak boleh minta seorang penyandang Perdana Menteri untuk beritahu pelbagai hal dalam soal peralihan kuasa.

“Memadai kita ulang kenyataan dan persefahaman yang beliau bincang terus dengan saya setiap minggu,” katanya.

Dr Mahathir pada sesi program ‘The Future of Malaysia and ASEAN’ di Sidang Kemuncak Perniagaan Asean Bloomberg ke-5 di Bangkok semalam berkata, beliau tidak akan membiarkan negara dalam keadaan berantakan apabila beliau melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri apabila tiba masanya nanti.

Pemimpin berusia 93 tahun itu berkata, memang menjadi hasratnya untuk terus bekerja keras buat negara dan menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Berita Harian X