Sabtu, 22 Jun 2019 | 8:00pm
PENGKAJI numismatik, Ahmad Nasyruddin Ismail.
PENGKAJI numismatik, Ahmad Nasyruddin Ismail.

Lambakan mata wang palsu jejaskan hobi numismatik

KUALA LUMPUR: Lebih 13,000 pengumpul dan pengkaji duit atau replika peringatan keluaran lama serta moden dikenali sebagai 'numismatik', berdepan risiko kerugian angkara sindiket mata wang palsu.

Sindiket dari China itu dipercayai menghasilkan duit palsu dan menjualnya sehingga puluhan ribu ringgit bagi nilai sekeping duit selepas mendapati permintaan terhadap hobi numismatik semakin bertambah.

Pada masa sama, terdapat penjual duit lama membuka bidaan duit palsu secara terbuka kepada peminat numismatik dengan menjanjikan ia satu pelaburan yang baik.

Pengkaji numismatik, Ahmad Nasyruddin Ismail, berkata modus operandinya ialah membuka lelongan menerusi laman sosial Facebook (FB) atau Instagram dengan status Tujuan Kajian Sahaja dan memadam status bidaan sebaik ada pembeli.

Katanya, hasil kajiannya mendapati terdapat 300 jenis duit unik daripada keluaran lama atau yang moden sudah dipalsukan dan dijual di pasaran negara ini.

Sebahagian daripadanya, katanya, digunakan sebagai rujukan untuk persatuan dan program pameran numismatik.

Pasaran gelap

"Antaranya adalah duit syiling 10 sen keluaran 1971; 50 sen keluaran 1969; duit abad ke 15-18 Kesultanan Melaka; Kesultanan Johor; Kesultanan Kelantan-Pattani; Kesultanan Terengganu Kesultanan Pahang; era penjajah seperti Portugis; Belanda; Jepun dan British, pernah dibida sehingga RM5,000 sekeping.

“Lebih membimbangkan, trend penghasilan duit palsu ini bukan sahaja untuk pasaran gelap tetapi juga dihasilkan untuk urus niaga harian.

“Saya ada dimaklumkan penemuan duit palsu dalam urus niaga bazar Ramadan dan pasar malam kerana ia sukar dikesan dan kurangnya pemahaman peniaga mengenali wang palsu ini," katanya kepada BH.

DUIT syiling 10 sen keluaran 1971 yang palsu (kiri) bertanda titik pada nombor sifar, manakala yang asli tiada titik.
DUIT syiling 10 sen keluaran 1971 yang palsu (kiri) bertanda titik pada nombor sifar, manakala yang asli tiada titik.

Ahmad Nasyruddin yang juga pemegang Sijil Profesional Numismatik Malaysia dari Universiti Malaysia Pahang, berkata dalam kes terbaru, duit replika tapir keluaran khas Bank Negara Malaysia (BNM) dibida menerusi platform FB pada harga RM2,000 sekeping.

"Duit berkenaan amat terhad, mahal dan hanya dilelong BNM, namun sindiket menciplaknya untuk pasaran gelap.

"Jika ia boleh dijual murah di pasaran, ini bermakna ia adalah palsu dan orang ramai yang tidak tahu mengenai prosedur pengeluaran mata wang replika berkenaan akan terpedaya untuk membelinya," katanya.

Dalam pada itu, penulis buku bertajuk `Mengenal pasti Ketulenan Mata Wang’ yang menjadi rujukan BNM itu berkata, terdapat tiga kategori utama duit palsu iaitu ubah suai ke atas duit tulen, replika atau cetakan duit dan duit fantasi.

DUIT syiling 10 sen keluaran 1971 yang asli dengan berat 2.85 gram, manakala gambar kanan syiling 10 sen palsu.
DUIT syiling 10 sen keluaran 1971 yang asli dengan berat 2.85 gram, manakala gambar kanan syiling 10 sen palsu.

Tiru tandatangan Gabenor BNM

"Ubah suai duit tulen iaitu dengan meniru tanda tangan Gabenor BNM. Secara majoriti pemalsuan ini membabitkan duit moden atau duit propaganda seperti di zaman penjajahan Jepun.

"Duit replika pula dianggap sebagai palsu jika tidak dicop sebagai contoh perkataan 'Specimen' serta menyalahi undang-undang negara kerana menyalin mata wang asli tulen kepada tiruan tanpa kebenaran kerajaan atau BNM.

"Fantasi adalah duit palsu kerana tidak menggunakan corak reka bentuk asal sebenar oleh pengeluar duit yang diiktiraf kerajaan. Contohnya duit syiling gambar Nabi Hidir atau yang menggunakan ayat al-Quran," katanya.

Sementara itu, seorang mangsa duit palsu yang enggan dikenali mendakwa membeli duit syiling peringatan Tunku Abdul Rahman bernilai RM100 keluaran 1971 pada harga RM4,000 sekeping sebelum menyedari ia palsu.

Mangsa adalah seorang penjual duit lama dan membuat urus niaga berkenaan sebagai pelaburannya sebelum menyedari dia ditipu.

“Berat syiling yang palsu adalah 10.06 gram sedangkan yang asli adalah 18.66 gram," katanya.

Kurang ilmu punca tertipu

Peminat numismatik disaran merujuk buku panduan yang direkodkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan pengkaji duit palsu bagi mengelakkan diri daripada tertipu.

Presiden Kelab Warisan Numismatik Malaysia (KWNM), Datuk Sharuddin Yusof, berkata peminat numismatik yang kurang pengetahuan dan tidak merujuk kepada pakar serta orang berpengalaman akan mudah tertipu dengan kegiatan itu.

Katanya, duit asli dan duit palsu boleh dikenali menerusi bentuknya, timbangan berat dan bentuk tulisan serta ketepatan kaligrafi.

"Cara mengenal pasti duit palsu adalah menyentuh dan melihat permukaan duit palsu yang lebih cembung, salutan logam dan sebagainya ke atas duit syiling.

“Bagi wang kertas pula, ia boleh dilihat pada tanda bayang, warna cetakan dan ciri keselamatan mengikut keluaran setiap pemerintah.

"BNM sudah merekodkan beratnya, jika berat tidak sama yang ditetapkan BNM makna jelas ia duit palsu,” katanya kepada BH.

PRESIDEN Kelab Warisan Numismatik Malaysia (KWNM), Datuk Sharuddin Yusof.
PRESIDEN Kelab Warisan Numismatik Malaysia (KWNM), Datuk Sharuddin Yusof.

Guna kanta, penimbang digital

Sharuddin berkata, orang ramai boleh menggunakan kanta untuk melihat pemalsuan yang sukar dikesan menerusi mata kasar, contohnya bentuk kaligrafi dengan ejaan salah.

Selain itu, katanya, orang ramai boleh menggunakan alat penimbang digital kerana standard tetap yang dikeluarkan oleh mana-mana keluaran mata wang Kesultanan Melayu Nusantara adalah 0.6 gram emas untuk nilai 'Kupang' dan 1.2 gram emas untuk nilai 'Kupang Berganda' dan 2.4 gram emas untuk nilai 'Mas'.

Pemegang rekod pengumpul numismatik terbesar iaitu 2,000 item oleh Malaysia Book of Records pada 2014 itu berkata, terdapat dua kategori koleksi yang boleh diambil kira dalam numismatik sebagai koleksi, iaitu pertama koleksi duit lama berdasarkan tahun keluarannya.

"Kedua, koleksi yang berupa duit lama tetapi berlaku kesilapan teknikal ketika dalam cetakan di kilang, tidak menepati piawaian dan kualiti yang ditetapkan atau dikenali sebagai duit cacat.

"Contoh duit cacat tiada nombor siri atau tempaan berganda, cetakan terbalik, dakwat kabur, dakwat basah dan lain-lain yang menyebabkan ia tidak sah diguna untuk urus niaga harian," katanya.

gn4id:15916499

3 pusat lelongan

Dalam pada itu, Sharuddin berkata, di negara ini terdapat tiga pusat lelongan iaitu di Hotel Sheraton dikendalikan NMS, di BNM dan di KN Boon Auction di sini.

"Namun sebelum duit lama dilelong, ia akan disahkan keasliannya, keadaannya, rekod, spesifikasi dan sejarah duit berkenaan.

"Sebaliknya, duit palsu hanya dijual di pasaran gelap, aplikasi WhatsApp atau menerusi dalam talian kerana ia menyalahi undang-undang BNM.

"Bagaimanapun berbeza daripada bidaan duit cacat tidak salah dari sudut undang-undang dan dianggap satu cabang seni numismatik," katanya.

Beliau turut berkongsi pengalaman membeli enam keping wang Kesultanan Johor Dinar Emas berharga RM9,000 daripada seorang penjual duit lama di Johor.

"Hampir dua tahun baru saya menyedari ia dihasilkan di kilang dari China. Saya cari balik penjual berkenaan dan pulangkan semula," katanya.

Beliau turut mencadangkan Kelab Warisan Numismatik Malaysia untuk mengadakan satu seminar numismatik bertajuk Menangani Isu Lambakan Duit Lama Palsu di pasaran, pada masa akan datang.

"Sikap tamak dan pentingkan keuntungan oleh pihak penjual dan pengeluar duit lama palsu menyebabkan pasaran numismatik kini dibanjiri dengan item duit lama palsu," katanya.

Berita Harian X