Jumaat, 21 Jun 2019 | 6:10pm
SEKUMPULAN murid dari Sekolah Kebangsaan Bandar Behrang 2020 (SKBB 2020) menghasilkan sabun daripada ekstrak pokok semalu yang boleh digunakan untuk merawat penyakit kulit. - Foto Rosman Shamsudin

Murid sekolah hasilkan sabun daripada daun semalu

BEHRANG: Sekumpulan murid dari Sekolah Kebangsaan Bandar Behrang 2020 (SKBB 2020), dekat sini menghasilkan sabun daripada ekstrak pokok semalu yang boleh digunakan untuk merawat penyakit kulit.

Lima murid perempuan berkenaan ialah Qaseh Nur Qistina Mohd Amiruddin, 10; Nur Aima Husna Muhammad Shahril, 10; Wan Eisya Nouha Wan Khairudin, 11; Nur Qazrina Mohd Fauzi, 12, dan Aina Syafiah Hamka, 11.

Mereka menghasilkan produk inovasi herba itu yang dikenali ‘Enviro-Mimosa Soap’ atau Sabun Mimosa dengan bimbingan guru sains sekolah mereka, Dr S Santharasekaran.

Pokok semalu atau nama saintifiknya Mimosa Pudica, adalah tumbuhan renek yang boleh ditemui di merata tempat terutama di kawasan padang dan lapang.

Murid Tahun Empat, Nur Qaseh ,10, berkata dia mendapat idea untuk menggunakan semalu sebagai bahan untuk menghasilkan sabun berkenaan selepas sering terpijak tumbuhan itu di padang sekolah.

Katanya, dia kemudian mendapat idea menghasilkan sesuatu dari tumbuhan itu selepas berjumpa dengan guru sainsnya yang selalu membimbing murid untuk sentiasa kreatif dalam menghasilkan inovasi.

“Guru memaklumkan bahawa tumbuhan ini mempunyai khasiat tinggi dan tergolong dalam tumbuhan herba yang antara lain berguna untuk merawat kulit berkurap, mengurangkan bengkak akibat terseliuh dan membersihkan kelamin wanita selepas haid atau bersalin serta merawat kulit kaki yang merekah.

“Selepas mengetahui tumbuhan itu mempunyai banyak khasiat terutama dalam perubatan tradisional, saya bersama empat rakan sekolah memulakan inovasi menghasilkan sabun ekstrak daun semalu dengan dibimbing guru,” katanya ketika ditemui, dekat sini.

Enviro - Mimosa Soap adalah sabun yang mempunyai aroma semulajadi dan berkesan untuk merawat semua jenis penyakit kulit jika digunakan dengan cara yang betul.

Inovasi itu akan dipertandingkan di Karnival Inovasi Kebangsaan (SEPINTAR) di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI ) Rawang pada 26 Jun 2019 ini.

Dr Santharasekaran berkata, projek inovasi berkenaan adalah sebahagian daripada usaha sekolah untuk mengaplikasikan idea dan kreativiti murid dalam dunia teknologi dan sains sejajar dengan moto sekolah itu, ‘Inovasi, Intelektual & Berwawasan’.

Katanya, pihak sekolah sememangnya menggalakkan murid supaya berfikiran kreatif dan berinovasi terutama dalam menghasilkan sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat.

Berita Harian X