Khamis, 20 Jun 2019 | 4:06pm
Halaman Facebook khas pasangan kembar Siam, https://www.facebook.com/KembarSiamMalaysia/.
Halaman Facebook khas pasangan kembar Siam, https://www.facebook.com/KembarSiamMalaysia/.

'Hamba Allah' belikan Ahmad, Muhammad komputer riba baharu

SHAH ALAM: Impian pasangan kembar Siam, Ahmad dan Muhammad Rosli, 21, untuk memiliki komputer riba baharu untuk tujuan kerja grafik menjadi kenyataan apabila menerima perkakasan itu daripada seorang wanita yang enggan dikenali.

Muhammad ketika dihubungi BH hari ini berkata, dia dan abangnya, Ahmad melahirkan kesyukuran dan terharu dengan sumbangan itu oleh wanita berkenaan.

“Alhamdulillah, sebuah komputer riba disumbangkan oleh seorang hamba Allah. Baru saja kami terima semalam tetapi beliau meminta kami merahsiakan maklumat dirinya.

“Syukur komputer riba itu cukup sempurna apa yang kami mahukan (dilengkapi perisian grafik),” katanya.

Muhammad berkata, hamba Allah yang membaca kisah mereka yang disiarkan BH 8 Jun lalu, menghubungi mereka melalui halaman Facebook khas mereka, https://www.facebook.com/KembarSiamMalaysia/.

“Penyumbang dapat tahu dari berita yg disiarkan di Berita Harian tempoh hari, kemudian menghubungi saya dan beritahu mahu menyumbangkan sebuah komputer riba.

“Beliau meminta alamat rumah untuk membuat penghantaran komputer riba itu.

“Penyumbang beli komputer untuk kami menerusi laman jual beli terkemuka dalam talian dan dihantar terus ke rumah kami,” katanya.

Dia dan Ahmad melahirkan penghargaan terima kasih yang tidak terhingga kepada penyumbang yang prihatin terhadap keperluan mereka.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau dan Insya-Allah kami akan guna sebaik-baiknya kemudahan yang diberikan. Hanya Allah dapat membalas kebaikannya.

“Penyumbang juga mahu kami belajar rajin-rajin dan menggunakan kemudahan yang beliau beri dengan sebaiknya,” katanya.

Pada 8 Jun lalu, BH menyiarkan kisah pasangan kembar yang kini menuntut di MSU dan memerlukan sumbangan komputer riba untuk tugasan grafik.

Muhammad berkata, komputer riba sedia ada dibeli ketika Tingkatan Tiga, masih boleh digunakan untuk tugasan biasa, namun untuk menyelesaikan tugasan berkaitan grafik, Ahmad memerlukan komputer riba khas.

Bagi Ahmad pula, walaupun MSU menyediakan makmal komputer khas untuk pelajarnya, mereka lebih selesa menyiapkan tugasan dan mengulang kaji pelajaran dalam keadaan meniarap di surau atau di Pusat Islam dan Kebudayaan MSU.

Katanya, mereka tidak boleh duduk lama, sebaliknya lebih selesa meniarap. Atas sebab itu, kedua-dua mereka memilih untuk berada di surau.

“Saya banyak buat kerja melukis, surau sahaja tempatnya. Lagipun surau tenang dan tak bising, nak melukis senang,” katanya.

Berita Harian X