Rabu, 19 Jun 2019 | 9:27pm
Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani. - Foto BERNAMA
Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani. - Foto BERNAMA

Isu serantau, antarabangsa antara fokus Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 di Thailand

BANGKOK: Isu serantau dan antarabangsa yang memberi kesan kepada negara anggota ASEAN akan dibincangkan pemimpin pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan di sini, dalam usaha mewujudkan kestabilan ekonomi dan politik serantau.

Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-Malaysia, Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani, berkata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad bersama pemimpin ASEAN lain akan berhimpun mulai esok hingga 23 Jun ini, membincangkan isu perang dagang China-Amerika Syarikat, isu Laut China Selatan, pelarian Rohingya, Semenanjung Korea, terorisme dan ekstremisme.

“Pemimpin anggota ASEAN dijangka bertukar pendapat dan membincangkan isu serantau dan antarabangsa semasa untuk membawa kestabilan ekonomi, politik dan keselamatan di rantau ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Rozian berkata, empat dokumen akan diperakukan pada sidang kemuncak kali ini iaitu ‘ASEAN Leaders’ Vision Statement on Partnership for Sustainability’ (Kenyataan Visi Pemimpin ASEAN Mengenai Kerjasama Bagi Kemampanan), ‘An ASEAN Indo-Pacific Outlook’ (Hala Tuju ASEAN Indo-Pasifik), ‘Bangkok Declaration on Combating Marine Debris in the Region’ (Deklarasi Bangkok Mengenai Sisa Marin Serantau) dan ‘ASEAN Leaders’ Statement on the ASEAN Cultural Year 2019’ (Kenyataan Pemimpin ASEAN Mengenai Tahun Kebudayaan ASEAN 2019).

Beliau berkata, pemimpin anggota ASEAN dijangka akan membincangkan pelbagai isu termasuk pewujudan Komuniti ASEAN menjelang 2025.

Bertemakan ‘Advancing Partnership for Sustainability’ (Memperkukuh Kerjasama Bagi Kemampanan), beliau berkata pemimpin akan membincangkan isu berkaitan untuk membawa ASEAN lebih maju.

“Malaysia menyokong tema yang diperkenalkan Thailand. Kita akan lihat apa (aspek) yang boleh kita bekerjasama untuk kestabilan di rantau ini. Pemimpin anggota negara ASEAN akan memberi sokongan kepada inisiatif Thailand.

“Pada masa sama, negara ASEAN bersama 10 anggota negara dialog dijangka melaksanakan program untuk memanfaatkan rantau ini, khususnya untuk mengukuhkan kestabilan ekonomi dan dalam usaha mewujudkan ASEAN Community (Komuniti ASEAN),” katanya.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel, berkata Dr Mahathir yang akan tiba di Bangkok esok, akan menghadiri Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 dan juga Sesi Pemukiman Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 pada Sabtu dan Ahad ini.

Berita Harian X