Rabu, 19 Jun 2019 | 5:18pm
Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Azmin Ali pada sidang akhbar di Putrajaya. - Foto REUTERS

Gagasan Kemakmuran Bersama jadi falsafah, tulang belakang RMK-12

PUTRAJAYA: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sudah mengambil langkah segera bagi memastikan Gagasan Kemakmuran Bersama menjadi falsafah dan tulang belakang kepada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang prosesnya baharu saja dimulakan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Gagasan Kemakmuran Bersama bukan gagasan sekadar untuk meningkat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tetapi turut mengutamakan kepentingan rakyat.

“Kita percaya potensi ekonomi negara pada hari ini masih tidak digunakan secara menyeluruh dan mampu berkembang sekurang-kurang sekali ganda, di mana gagasan ini menekankan persoalan membawa Malaysia ke arah pertumbuhan ekonomi serta negara dengan lebih pesat.

“Kita mahu keluar daripada model ekonomi yang menggunakan buruh secara intensif, kepada ekonomi masa depan yang menekankan adaptasi teknologi, automasi dan ekonomi intelek (K-Economy),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Azmin berkata gagasan itu akan menekankan kepada penggunaan bakat sumber manusia serta syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara kepada potensi yang terbaik.

Katanya, langkah itu akan memastikan kekayaan yang dihasilkan negara dapat diagihkan dengan lebih menyeluruh, meningkatkan pendapatan rakyat dan seterusnya mengurangkan jurang ekonomi rakyat tanpa mengira kelas, kaum mahupun wilayah.

“Gagasan ini harus memastikan jurang ekonomi, pendapatan dan penyertaan dalam rantaian bekalan dapat diminimumkan terutama dalam kalangan masyarakat Melayu, Orang Asli, Bumiputera Sabah dan Sarawak serta golongan relatif miskin supaya kekayaan negara dapat benar-benar dirasai bersama.

“Kita mengharapkan Gagasan Kemakmuran Bersama mampu mengurangkan jurang ekonomi dalam kalangan rakyat dan merancakkan pertumbuhan ekonomi,” katanya

Beliau berkata, tujuan gagasan itu adalah untuk kepentingan rakyat yang lebih menyeluruh. Justeru, pihaknya mengharapkan gagasan itu bukan hanya datang dari kerajaan kepada rakyat (top-down approach).

“Sebaliknya, ia harus mendapat pandangan dan maklum balas rakyat, industri dan masyarakat sivil (bottom-up approach) supaya ia mampu menjawab dan menyelesaikan kehendak serta keperluan rakyat.

“Kementerian saya akan bertanggungjawab mengadakan rundingan dan mendapatkan maklum balas semua pemegang taruh, termasuk kumpulan pekerja, peniaga dan pemain industri untuk memastikan gagasan ini menjadi milik rakyat secara bersama,” katanya.

Berita Harian X