Rabu, 19 Jun 2019 | 5:16pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kanan) bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub ketika sidang media berhubung Statistik Penguatkuasaan sempena Musim Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2019 di Dewan Serbaguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kanan) bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub ketika sidang media berhubung Statistik Penguatkuasaan sempena Musim Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2019 di Dewan Serbaguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini. - Foto BERNAMA

Pematuhan SHMMP 2019 cemerlang

PUTRAJAYA: Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2019 bagi Hari Raya Puasa, Hari Gawai dan Pesta Keamatan mencapai kejayaan apabila mencatatkan kadar pematuhan yang cemerlang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata, sebanyak 60,878 premis dipantau sepanjang pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa yang berakhir hari ini.

Beliau berkata hanya 362 premis dikesan melakukan kesalahan, dengan 13 kes menjual melebihi harga maksimum, 307 kes tidak pamer tanda harga khas dan 42 kes tidak pamer tanda harga.

“Untuk 362 kesalahan yang dicatatkan, jumlah kompaun sudah dikeluarkan sebanyak RM46,550 dan jumlah barangan rampasan bernilai RM46,623,” katanya pada sidang media bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub di

sini, hari ini.

Katanya, SHMMP Pesta Kaamatan pula, daripada 4,775 premis yang dipantau, hanya lima yang dikesan melakukan kesalahan iaitu tidak mempamerkan tanda harga khas, membabitkan kompaun berjumlah RM700 dan rampasan RM194.80 direkodkan.

Bagi SHMMP Hari Gawai pula katanya, sebanyak 4,515 premis dipantau dan hanya dua melakukan kesalahan membabitkan kompaun sebanyak RM200 dan nilai rampasan RM179.

“Selain kadar pematuhan yang tinggi terhadap harga maksimum yang ditetapkan di bawah SHMMP bagi ketiga-tiga perayaan, banyak premis perniagaan juga menjual barangan keperluan pada harga lebih murah.

“Ini memberi isyarat bahawa dalam pelaksanaan skim kawalan harga pada masa akan datang, penambahan hari (hari kawalan daripada 15 kepada 30 hari) dan barangan (barangan kawalan daripada 21 kepada 27) boleh dilaksanakan dengan syarat bekalan barangan mencukupi,” katanya.

Sementara itu, Salahuddin berkata, kejayaan itu hasil kerjasama semua pihak bagi memastikan rakyat dapat membeli barangan pada harga berpatutan ketika musim perayaan.

Katanya, ia juga hasil kejayaan kementerian dalam membuat unjuran bekalan barangan keperluan di musim perayaan sehingga meyakinkan peniaga untuk tidak menaikkan harga.

“Ia juga hasil kejayaan kawalan ketat di pintu masuk sempadan contohnya Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dalam membanteras penyeludupan barangan.

“Kita bagaimanapun tidak boleh berpuas hati sepenuhnya dan akan cuba yang terbaik pada masa akan datang,” katanya.

Berita Harian X