Isnin, 17 Jun 2019 | 1:32pm

Azmin beri keterangan hari ini atau esok

SEPANG: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan memberi keterangan kepada polis sama ada hari ini atau esok berhubung isu video lucah yang tular sejak minggu lalu.

Setiausaha Politiknya, Muhammad Hilman Idham, berkata di peringkat pejabat menteri dan kementerian, pihak polis sudah memaklumkan secara rasmi semalam untuk tarikh dan waktu Mohamed Azmin bagi memberikan kenyataan.

“Kita sedang berbincang di peringkat pejabat menteri dan beliau (Mohamed Azmin) juga memang sudah mengarahkan supaya kita memberi keutamaan kepada polis untuk beliau memberi kenyataan.

“Memandangkan jadual hari ini dan esok ketat, kita masih meneliti waktu. Insya-Allah kita akan beri waktu hari ini atau esok untuk merekodkan kenyataan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini, hari ini.

Sabtu lalu, media melaporkan Mohamed Azmin akan dipanggil dalam masa terdekat bagi memberi keterangan berhubung isu video lucah dengan seorang lelaki dikenali sebagai Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, polis akan memanggil semua pihak terbabit bagi memberi keterangan termasuk yang menuduh dan dituduh bagi membantu siasatan.

Ditanya sama ada keterangan itu akan direkodkan di Bukit Aman, Muhammad Hilman berkata, perkara itu belum dapat dipastikan dan ia bergantung kepada perbincangan.

“Jadual menteri sudah disusun lama dan hari ini serta esok sangat padat. Bagaimanapun, memandangkan ada permintaan daripada polis semalam, beliau (Mohamed Azmin) juga sudah memaklumkan kepada saya.

“Saya juga sudah memaklumkan setiausaha sulit beliau mengenai kenyataan itu perlu direkodkan hari ini atau esok. Apa pun kita akan maklumkan kepada pihak media,” katanya.

Berhubung kehadirannya di IPD Sepang di sini, Muhammad Hilman berkata, ia bagi merekodkan kenyataan susulan laporan dibuat Haziq yang mengatakan beliau mengugutnya, namun keterangan itu tidak diambil.

“Saya dimaklumkan oleh peguam iaitu rakaman percakapan pagi ini tidak jadi sebab IPD Sepang baru dimaklumkan kenyataan direkodkan pada Jumaat lalu mencukupi.

“Memandangkan Haziq buat laporan di Balai Polis Kelana Jaya dan kejadian itu (ugutan) didakwa berlaku di hotel di bawah pentadbiran IPD Sepang, sebab itu pihak IPD Sepang panggil saya datang.

“Bagaimanapun IPD sepang selepas berbincang dengan Bukit Aman dan melihat semua keterangan serta kerjasama saya berikan kepada polis, mereka rasakan ia sudah cukup. Mereka akan maklumkan kepada saya jika ada keterangan lain diperlukan,” katanya.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali (kiri) memberi sumbangan duit raya kepada kanak kanak yang hadir pada Majlis Silaturahim Eidul Fitri Dun Gombak Setia di Taman Selaseh Fasa 2 Gombak, semalam. - Foto NSTP
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali (kiri) memberi sumbangan duit raya kepada kanak kanak yang hadir pada Majlis Silaturahim Eidul Fitri Dun Gombak Setia di Taman Selaseh Fasa 2 Gombak, semalam. - Foto NSTP
Berita Harian X