Khamis, 13 Jun 2019 | 1:05pm
LORELA Chia
LORELA Chia

Memperkasa murid berkeperluan khas

KUALA LUMPUR: Memperkasakan murid berkeperluan khas (MBK) dan golongan istimewa menjadi fokus utama Pameran Pendidikan Khas Antarabangsa 2019 (ISEE 2019) pada 29 Ogos depan di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE (MECC), di sini.

Pengasas ISEE 2019 yang juga Pengarah Urusan GR8 Dreams Sdn Bhd, Datin Lorela Chia, berkata pemerkasaan itu meliputi peningkatan kemasukan kanak-kanak istimewa dan kurang upaya dalam pendidikan khas.

Seterusnya katanya, meningkatkan kualiti graduan kalangan golongan berkenaan dan kuantiti graduan yang berminat serta bersedia memenuhi keperluan industri.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 100,000 pendaftaran MBK serta 20,000 kerjaya mampan untuk golongan itu menjelang tahun 2025.

“Pengisian program adalah ceramah oleh penceramah pleno antarabangsa dan tempatan membabitkan penyelidik, ahli akademik dan cendekiawan serta personaliti yang akan memberikan inspirasi kepada kanak-kanak istimewa meliputi atlit, selebriti dan usahawan.

“Kami juga akan menubuhkan badan khas berkaitan penawaran biasiswa bersama jaringan Universiti ASEAN bagi mewujudkan kesedaran berhubung penawaran biasiswa kepada golongan terbabit untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

ISEE 2019 anjuran bersama Persatuan Pendidikan Kurang Upaya Kebangsaan (PPKK) dan Persatuan Pendidikan Kurang Upaya Kala Lumpur (PPKKL) bersama Universiti Malaya (UM) dan Jobs Malaysia dengan sokongan Kementerian Pendidikan.

Pameran itu ialah platform ke arah pengiktirafan kepada peranan MBK untuk membolehkan kanak-kanak istimewa mendapat akses ekosistem sempurna bagi membolehkan mereka mendapat pendidikan sepenuhnya supaya dapat menjalani hidup yang lebih produktif.

Sehingga Januari tahun ini, sebanyak 83,039 MBK, kanak-kanak istimewa dan kurang upaya didaftarkan di sekolah kerajaan.

YASMIN Hussain
YASMIN Hussain

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Yasmin Hussain, berkata pameran itu penting kepada pendidik dan murid pendidikan khas bertepatan Dasar Sifar Penolakan bagi memastikan MBK tidak tercicir daripada persekolahan.

“Jawatankuasa ISEE 2019 dan Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan bekerjasama dalam memastikan kejayaan pameran ini demi masa depan MBK,” katanya.

Bagi Presiden PPKL, Datuk Badruddin Abu Bakar, kanak-kanak kurang upaya sering dipinggirkan atau diasingkan dari sistem persekolahan kebangsaan .

“Saya gembira kerana di Malaysia, pihak kerajaan menjadikan pendidikan bersifat inklusif serta berkualiti untuk kanak-kanak khususnya MBK,” katanya.

Berita Harian X