Rabu, 12 Jun 2019 | 9:21pm
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berucap pada majlis perasmian Pesta Borneo Antarabangsa 2019 di Suria KLCC. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Pertimbang wujudkan Borneo Street di KL

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan sedang mempertimbang cadangan mewujudkan ‘Borneo Street’ di ibu negara sebagai pusat perniagaan dan pengkomersialan produk Sabah dan Sarawak.

Menterinya, Khalid Abdul Samad, berkata cadangan itu disuarakan Persatuan Warisan Sabah Sarawak di Kuala Lumpur dan Selangor, yang berharap kerajaan dapat menyediakan kawasan perniagaan produk Borneo.

Katanya, Borneo Street akan menghimpunkan peniaga anak negeri Sabah dan Sarawak, untuk mengkomersialkan produk yang melambangkan keunikan kepelbagaian etnik di dua negeri berkenaan.

“Seperti mana komuniti Melayu, Cina dan India, kita juga perlu lokasi khas untuk komuniti Borneo menjalankan perniagaan, seperti Borneo Street Kuala Lumpur.

“Cadangan ini adalah untuk mempromosi produk unik dari Sabah dan Sarawak kepada penduduk tempatan dan pelancong luar, selain meningkatkan nilai komersial produk Borneo.

“Kementerian akan menunggu satu cadangan rasmi dihantar kepada kami daripada pihak persatuan, untuk kita berbincang bagi menentukan konsep, lokasi dan seumpamanya,” katanya pada sidang media pelancaran Festival Borneo Antarabangsa 2019 di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi dan Penasihat Persatuan Warisan Sabah Sarawak di Kuala Lumpur dan Selangor, Dr Lawrence John dan Pengerusi Suria KLCC Sdn Bhd, Datuk Hashim Wahir.

Festival Borneo Antarabangsa 2019 diadakan di Suria KLCC bermula hari ini hingga Jumaat, bertujuan mendedahkan keunikan budaya kepelbagaian etnik di Sabah dan Sarawak.

Ditanya bilakah Borneo Street akan diwujudkan, Khalid berkata, ia akan diputuskan selepas Persatuan Warisan Sabah Sarawak di Kuala Lumpur dan Selangor menghantar cadangan rasmi kepada pihaknya.

Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang mempertikaikan tindakan pegawai Khalid dan Kementerian Wilayah cuba meyakinkan penduduk menerima projek pembangunan Taman Rimba Kiara (TRK), Khalid berkata, ia adalah tindak balas kepada kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDIRA).

“Jika mahu isu ini tidak lagi timbul, Hannah dan TTDIRA sepatutnya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan (sehingga isu diputuskan oleh Kabinet),” katanya.

Semalam, Hannah menerusi Facebook membidas Khalid dan pegawainya yang berterusan cuba meyakinkan penduduk menerima projek yang saiznya sudah dikecilkan itu, walaupun bersetuju untuk membiarkan Kabinet memutuskan sama ada projek kontroversi itu diteruskan atau sebaliknya.

Berita Harian X