Selasa, 11 Jun 2019 | 4:10pm
MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad. NSTP/Saddam Yusoff
MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad. NSTP/Saddam Yusoff

Caruman PERKESO untuk pemandu teksi Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Kira-kira 10,000 pemandu teksi berdaftar di Wilayah Persekutuan bakal menerima insentif dalam bentuk caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dalam masa terdekat.

Pengerusi YWP, Khalid Abd Samad yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, berkata pihaknya prihatin dengan nasib pemandu teksi yang mendakwa pendapatan mereka terjejas teruk berikutan peningkatan perkhidmatan e-hailing.

“Jumlah insentif berkenaan adalah kira-kira RM17 sebulan bagi setiap pemandu dan kami menganggarkan kos keseluruhan ialah kira-kira RM1.2 juta atau RM1.3 juta.

“Saya sudah meminta Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun untuk menghubungi Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM) untuk mendapatkan jumlah sebenar pemandu teksi yang memerlukan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas berhubung peranan Menteri Wilayah Persekutuan di YWP di Kampung Baru, di sini, hari ini.

Khalid berkata pemandu teksi boleh menghubungi GTSM untuk memohon insentif berkenaan demi kepentingan mereka.

“Setakat ini, kita hanya melaksanakan insentif berkenaan hanya untuk tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Khalid berkata kertas cadangan berhubung isu Taman Rimba Kiara, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini dijangka akan dibentangkan kepada Kabinet dalam tempoh sebulan lagi.

Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada maklum balas daripada beberapa kementerian berkaitan dan Peguam Negara, Tommy Thomas.

Katanya, kertas cadangan mengenai perkara itu sudah siap sepenuhnya namun ia memerlukan sedikit masa untuk dimuktamadkan susulan cuti Aidilfitri yang baru berakhir.

“Kita kena hantar kertas cadangan itu kepada kementerian berkaitan terlebih dulu dan pejabat Peguam Negara. Kita hantar serentak untuk memastikan penyelesaiannya dapat diselaraskan,” katanya.

Projek pembangunan Taman Rimba Kiara mencetuskan kontroversi apabila pada April 2017, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan perintah pembangunan bagi projek mega di atas lot tanah seluas 4.9 hektar daripada 10.1 hektar membabitkan satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara, dan lapan blok kondominium mewah 50 tingkat.

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat tentangan banyak pihak termasuk penduduk di kawasan terbabit.

Berita Harian X