Ahad, 9 Jun 2019 | 3:15pm
TIMBALAN Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.
TIMBALAN Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Logo baharu TMM 2020 dilancarkan 22 Jun ini

BALIK PULAU: Logo baharu kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020 bagi menggantikan versi terdahulu yang menerima kecaman orang ramai sudah dimuktamadkan dan dipersetujui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Selasa lalu.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, berkata logo baharu TMM 2020 itu juga akan dilancarkan pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia yang dijadual berlangsung di Muzium Diraja, Kuala Lumpur pada 22 Jun ini.

“Proses penambahbaikan logo TMM 2020 sudah pun selesai, selain Dr Mahathir sendiri yang memilih logo baharu bagi kempen TMM 2020 ini.

“Bagaimanapun, perincian dan tema logo terbabit masih belum boleh diberitahu kepada umum kerana pelancarannya akan dibuat di Majlis Rumah Terbuka Malaysia, pada 22 Jun nanti,” katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abul Kassim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd Tuah Ismail dan ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim.

Sebelum ini, logo TMM 2020 dilancarkan bekas Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, pada Forum Pelancongan Asean (ATF) 2018 di Chiang Mai, Thailand, Januari tahun lalu, mendapat kecaman hebat daripada orang ramai kerana dikatakan terlalu ringkas dan tidak cantik.

Logo seperti setem itu memaparkan imej Menara Berkembar Petronas (KLCC); Orang Utan; monyet bercermin mata dan penyu memakai cermin mata hitam, dikecam dengan rata-rata menyifatkannya sebagai tidak berkualiti.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya belum menerima sebarang cadangan untuk mengundang kumpulan K-Pop dari Korea, Bangtan Boys (BTS) ke negara ini bagi mempromosikan TMM 2020 seperti dinyatakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman.

“Cadangan ini (mengundang BTS) dibuat Kementerian Belia dan Sukan, bukannya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, selain kita tak terima apa-apa makluman lagi mengenainya.

“Kita tak kata akan bantah cadangan ini, sebaliknya mengalu-alukan untuk memperhebatkan lagi pelancongan muzikal ke negara ini, sekali gus mampu menarik lebih ramai pelancong dari negara berhampiran.

“Bagaimanapun, setakat ini kita belum menerima apa-apa cadangan berhubung perkara berkenaan atau sebarang makluman kepada sekretariat pengendali TMM 2020,” katanya yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Pulau Pinang.

Berita Harian X