Sabtu, 8 Jun 2019 | 8:09pm
Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (dua dari kiri) melayan tetamu pada program Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Parlimen Hang Tuah Jaya di Melaka Sentral. - NSTP/Rasul Azli Samad
Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (dua dari kiri) melayan tetamu pada program Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Parlimen Hang Tuah Jaya di Melaka Sentral. - NSTP/Rasul Azli Samad

Kerajaan sasar 75 peratus pekebun kecil sawit miliki sijil MSPO

MELAKA: Menjelang 1 Januari tahun depan, Kementerian Industri Utama mensasarkan kira-kira 75 peratus daripada keseluruhan pekebun kecil kelapa sawit di seluruh negara memiliki persijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata pada masa ini dianggarkan 35 peratus daripada keseluruhan 600,000 pekebun kecil sawit di seluruh negara mempunyai persijilan berkenaan.

“Persijilan MSPO ini penting bagi memastikan setiap titis minyak sawit di negara ini diiktiraf sebagai minyak berkualiti. Malah, melalui perakuan sijil tersebut, seterusnya dapat meningkatkan harga pasaran sawit pada masa depan.

“Di peringkat kementerian, kita sedang berusaha bersungguh-sungguh supaya kesemua pekebun kecil kelapa sawit ini mempunyai 100 peratus persijilan MSPO.

“Sebab itu kita (kementerian) sedang berusaha bersungguh-sungguh ke arah mencapai 100 peratus persijilan MSPO. Kita berharap kumpulan pekebun kecil dapat memberikan kerjasama, seterusnya kita yakin dengan adanya persijilan ini maka kualiti sawit boleh dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Peringkat Parlimen Hang Tuah Jaya, Pengkalan Batu di Terminal Melaka Sentral, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar berkata, kerajaan juga sudah memperuntukkan sebanyak RM30 juta pada belanjawan lalu khusus bagi membantu pekebun kecil mendapatkan persijilan terbabit.

“Kerajaan juga sudah meluluskan sebanyak RM500 juta bantuan pinjaman mudah khusus untuk tanaman semula kelapa sawit.

“Melalui bantuan ini, pekebun yang berminat untuk melaksanakan tanaman semula akan diberikan benih jenis baharu yang memberikan hasil lebih tinggi,” katanya.

Shamsul Iskandar berkata, industri sawit masih lagi penting kepada negara kerana menyumbang sebanyak RM70 bilion kepada hasil pendapatan negara.

“Di sebalik ancaman terhadap pasaran komoditi utama negara itu khususnya dari Kesatuan Eropah (EU), kita juga sedang melihat potensi besar di rantau Afrika bagi memasarkan minyak sawit kita. Ini juga mampu menyerap sebarang tekanan atau ancaman daripada EU terhadap hasil sawit negara pada masa depan,” katanya.

Berita Harian X