Selasa, 4 Jun 2019 | 5:32pm

Latheefa letak jawatan ahli PKR berkuat kuasa serta-merta

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Latheefa Beebi Koya, mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai ahli biasa parti berkenaan, berkuat kuasa serta-merta, semalam.

Beliau yang juga bekas Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty memaklumkan percaturan itu diambil selepas dimaklumkan mengenai keputusan pelantikan sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu.

“Terima kasih atas nasihat, tetapi saya sudah kemukakan surat peletakan jawatan, berkuat kuasa serta-merta sebagai ahli biasa PKR semalam, selepas diberitahu berhubung pelantikan untuk menerajui SPRM,” katanya menerusi akaun Twitter rasminya, @LatheefaKoya, hari ini.

Latheefa berkata demikian susulan kenyataan Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, bahawa peguam yang terkenal dengan kelantangan bersuara memerangi salah laku dan amalan rasuah berkenaan harus meletakkan jawatan dalam parti bagi mengelak risiko konflik kepentingan.

Fahmi dilaporkan berkata, langkah itu sejajar keputusan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof meletakkan jawatan sebagai Ketua Jawatankuasa Tatatertib Parti Amanah Negara selepas beliau dilantik menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Demi mengelak sebarang pertikaian yang menyentuh isu konflik kepentingan atau partisan, saya percaya Latheefa harus menjauhkan diri daripada menjadi ahli mana-mana parti politik,” katanya seperti dilaporkan portal berita dalam talian, MalaysiaKini, hari ini.

Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan Latheefa sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu untuk tempoh kontrak selama dua tahun, berkuat kuasa 1 Jun lalu adalah selaras Subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 dengan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut kenyataan itu, selaras Subseksyen 5(3) Akta SPRM (Akta 694), Yang di-Pertuan Agong turut memperkenankan permohonan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull untuk memendekkan tempoh kontrak beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM lebih awal, berbanding tarikh tamat perkhidmatan iaitu 17 Mei 2020.

Berita Harian X