Khamis, 30 Mei 2019 | 4:37pm
Noripah (kanan) dan Stefan Priesner pada sidang media selepas Pelancaran Kerjasama Bank Rakyat dan PBB bertemakan ‘Bersama Untuk Matlamat Pembangunan Lestari (SDG)’, di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Nik Hariff Hassan

Bank Rakyat, PBB bantu tingkat nutrisi kanak-kanak miskin

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat dengan kerjasama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merangka 200 program bagi membantu 20,000 kanak-kanak kurang berkemampuan di seluruh negara untuk mendapatkan makanan berkhasiat.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Noripah Kamso, berkata semua program itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh dua tahun dengan memfokuskan pembangunan komuniti di Sabah sebagai fokus utama.

Katanya, kerjasama di bawah program Nuri Nutrisi ini dijangka dilaksanakan di beberapa pulau peranginan di Sabah termasuk Pulau Bum Bum, Pulau Bohey Dulang, Pulau Sibuan dan Pulau Maiga.

“Menerusi program ini, setiap kanak-kanak akan mendapat pendedahan berkaitan kepentingan tabiat pemakanan sihat dalam kehidupan harian mereka.

“Program ini juga bertujuan mencorakkan kehidupan lestari masyarakat setempat dengan pelbagai usaha meningkatkan status nutrisi masyarakat dan menjaga keperluan sosial penduduk termasuk yang bukan bertaraf warganegara,” katanya selepas Majlis Pelancaran Kerjasama Bank Rakyat dan PBB bertemakan ‘Bersama Untuk Matlamat Pembangunan Lestari (SDG)’, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Penyelaras Residen PBB Malaysia, Stefan Priesner.

Sejak diperkenal pada Januari lalu, seramai 1,282 pelajar kurang berkemampuan sudah mendapat manfaat menerusi program Nuri Nutrisi termasuk 30 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Mabul yang menerima kad bantuan makanan bernutrisi di sekolah sepanjang tahun ini pada April lalu.

Noripah berkata, menerusi kerjasama dengan PBB ini, Bank Rakyat menjadi organisasi pertama di Malaysia diakreditasi PBB di bawah program SDG.

“Sejak SDG dilancarkan pada tahun 2015, Bank Rakyat sudah memastikan inisiatif dijalankan sejajar Agenda PBB 2030 iaitu menyumbang kepada kelestarian masyarakat lebih baik dan meminimumkan kerosakan alam sekitar.

“Kami juga akan terus memainkan peranan bagi mencapai matlamat SDG menerusi operasi perniagaan termasuk pembiayaan dan pelaburan perbankan,” katanya.

Berita Harian X