Isnin, 27 Mei 2019 | 9:48pm
Raja Kamarul Bahrin (tengah) bergambar bersama pelajar selepas Majlis Penutup Youth Skills @ Kolej Siswa 2019 di Universiti Malaysia Terengganu, di Kuala Nerus, hari ini. - NSTP/Rozainah Zakaria

Sistem terbuka perlu diwujudkan bagi elak pertikaian

KUALA NERUS: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu mewujudkan satu sistem terbuka segi penilaian dan penganugerahan tender sama ada projek besar atau kecil supaya tidak wujud pertikaian oleh mana-mana pihak.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah, berkata sistem yang telus perlu ada bagi memastikan tidak wujud salah guna kuasa dilakukan.

“Kita mengharapkan sistem yang telus diwujudkan. Sama dalam sistem perumahan membabitkan pengagihan rumah mampu milik dan rumah kos rendah, kita mahu wujudkan pangkalan data yang telus dan lengkap digunakan.

“Sebelum ini, tiada sistem yang komprehensif menyebabkan pembahagian rumah itu dipersoalkan. Namun ia cabaran yang perlu dihadapi untuk mewujudkan sistem yang tidak boleh disalah gunakan.

“Sama juga dengan sistem membabitkan tapak perniagaan kita ingin memastikan sistem yang tidak boleh dipertikaikan supaya semua golongan serta pihak boleh mengambil bahagian tanpa pilih kasih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penutup Youth Skills @ Kolej Siswa 2019 di Universiti Malaysia Terengganu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor UMT, Prof Dr Che Ruzaidi Ghazali.

Beliau diminta untuk mengulas mengenai bantahan yang dilakukan oleh Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Johor berhubung dakwaan salah guna kuasa membabitkan Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Adib Azhari Daud.

Bantahan dilakukan oleh 24 Ahli Majlis MBIP terhadap Adan Azhari yang dikatakan bertindak mengubah keputusan isu berkaitan kebenaran membuka bazar Ramadan di lokasi yang tidak mendapat kelulusan selain kelulusan jumlah lesen berniaga sepanjang bulan puasa.

Raja Kamarul Bahrin berkata, Adib Azhari perlu memberi penjelasan berhubung perkara ini agar isu ini tidak berpanjangan.

“Datuk Bandar (Adib Azhari) harus menyelidik dari segi pentadbiran, kawasan dan individu yang bertanggungjawab dalam pembahagian lesen dan permit ini. Apabila perubahan dilakukan dalam sistem pembahagian lot ini, banyak perkara perlu diteliti.

“Saya kira, beliau bersedia untuk memberi penjelasan apabila mendapat taklimat terperinci daripada pegawainya,” katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X