Isnin, 27 Mei 2019 | 9:14pm
TAN Sri Muhyiddin Yassin mahu Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor yang baharu berbincang dengan Menteri Besar untuk mencari persefahaman demi kelancaran pentadbiran parti dan negeri. - Foto BERNAMA
TAN Sri Muhyiddin Yassin mahu Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor yang baharu berbincang dengan Menteri Besar untuk mencari persefahaman demi kelancaran pentadbiran parti dan negeri. - Foto BERNAMA

Muhyiddin harap Pengerusi BERSATU Johor, MB bekerjasama

JOHOR BAHRU: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor yang baharu berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal untuk mencari persefahaman demi kelancaran pentadbiran parti dan negeri.

Presiden BERSATU itu berkata, beliau berharap perkembangan dalaman parti berkenaan tidak menjejaskan hubungan dan perpaduan semua pihak.

“Itu saya tak tahulah... Beliau (Pengerusi BERSATU Johor, Mazlan Bujang) perlu berbincang (dengan Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal).

“Beliau (Mazlan) tak boleh keluar arahan begitu saja, perlu ada permuafakatan.

“Arahan parti dari pusat akan ikut saluran biasa (melalui Pengerusi BERSATU negeri). Kita tak ikut cara lain,” katanya ketika ditanya mengenai perjalanan pentadbiran parti di Johor selepas ini berikutan Menteri Besar tidak memegang jawatan dalam BERSATU negeri.

Beliau turut berharap, hubungan semua pemimpin BERSATU Johor tidak bermasalah dan semua mereka mengekalkan perpaduan dalam menghadapi perubahan yang baru berlaku.

Muhyiddin berkata demikian pada majlis berbuka puasa pemimpin bersama masyarakat di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini, hari ini.

Ketua BERSATU Bahagian Tebrau, Mazlan secara rasmi memulakan tugas sebagai Pengerusi BERSATU Johor, Sabtu lalu dan mengumumkan pelantikan beberapa ahli jawatankuasa baharu termasuk Setiausaha, Mohd Solihan Badri, yang juga Ketua Bahagian Ledang.

Mazlan dilaporkan berkata, Dr Sahruddin, menolak tawaran kekal menjawat jawatan Setiausaha BERSATU Johor untuk memberi tumpuan terhadap pentadbiran negeri.

Dr Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, ketika ditemui media semalam, mengucapkan tahniah kepada Mazlan dan meminta semua pihak memberi keutamaan terhadap perpaduan parti.

Mazlan yang digugurkan daripada barisan EXCO baharu kerajaan Johor April lalu, dilantik sebagai Pengerusi BERSATU Johor dengan pengesahan jawatan itu dibuat Pengerusi parti, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berita Harian X