Sabtu, 25 Mei 2019 | 3:25pm
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Salhani Ibrahim
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Salhani Ibrahim

Kerajaan runding jumlah pampasan, tuntutan pulangan projek MPP, TSGP

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang berunding dengan kontraktor projek Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) bagi menentukan jumlah pampasan yang perlu dibayar Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER), susulan penamatan kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pelaksanaan (EPCC) projek itu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata turut dirunding adalah jumlah bayaran yang sudah dibuat SSER yang perlu dipulangkan semula oleh pihak kontraktor kepada anak syarikat Kementerian Kewangan itu.

Katanya, kontraktor yang terbabit adalah China Petroleum Pipeline Engineering Company Ltd (CPPE) dan Huanqiu Project Management (Beijing) Co Ltd (HQPMC).

“Kontrak EPCC bernilai RM9.4 bilion bagi projek saluran paip serta lain-lain kontrak yang berkaitan sudah pun ditamatkan. Secara keseluruhan, kontrak ini bernilai RM10.4 bilion.

“Jabatan Peguam Negara mewakili kerajaan Malaysia dalam rundingan ini dan akan mengesyorkan langkah seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Projek MPP dan TSGP diluluskan Kabinet pada 27 Julai 2016 dan diberikan kepada Biro Saluran Paip Petroleum China (CPPB) pada 1 November 2016.

SSER dikatakan sudah membuat bayaran sebanyak RM8.3 bilion ataupun 88 peratus daripada kos pembinaan RM9.4 bilion, walaupun kemajuan kerja (yang belum diaudit) dianggar pada tahap 13 peratus.

MPP membabitkan projek saluran paip petroleum pelbagai produk sepanjang 600 kilometer yang menghubungkan Melaka dan Port Dickson, Negeri Sembilan ke Jitra, Kedah, dengan kos 4.53 bilion yuan dan RM2.53 bilion atau kira-kira RM5.35 bilion.

Guan Eng berkata, setakat 28 Mac lalu, SSER sudah membayar RM8.25 bilion bagi kontrak EPCC, RM106 juta bagi Perjanjian Perkhidmatan Perundingan (CSA) dan Penyelenggaraan serta RM19 juta bagi Perjanjian Perkhidmatan Perundingan Pengurusan Projek (PMC).

“Daripada keseluruhan nilai kontrak EPCC berjumlah RM9.4 bilion itu, 85 peratus dibiayai melalui pinjaman 12.9 bilion yuan (RM7.8 bilion) daripada EXIM Bank of China yang dijamin kerajaan Malaysia.

“SSER juga mengambil kredit pusingan bernilai RM1.2 bilion daripada CIMB Bank. Fasiliti kredit ini sepatutnya dibayar penuh pada Julai 2019 tetapi SSER dan CIMB sedang berbincang untuk membolehkan SSER membayar hanya RM0.6 bilion untuk tahun ini dan seterusnya melangsaikan baki pinjaman pada 2020,” katanya.

Mengenai status terkini tindakan undang-undang terhadap SSER, Guan Eng berkata, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 5 April lalu mengenakan denda sebanyak RM18 juta terhadap syarikat itu bagi enam pertuduhan berkaitan kegagalan mematuhi syarat Bank Negara Malaysia (BNM).

Berita Harian X