Khamis, 23 Mei 2019 | 9:58pm
ADLY (lima dari kanan) bersama Mukhtar (empat dari kanan) dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Omar Jaafar (enam dari kanan) bergambar bersama penerima sumbangan pada program Inspirasi Ramadan YaPEIM Peringkat Negeri Melaka di Masjid Al-Muttaqin, Kampung Tedong, Merlimau. NSTP/Rasul Azli Samad
ADLY (lima dari kanan) bersama Mukhtar (empat dari kanan) dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Omar Jaafar (enam dari kanan) bergambar bersama penerima sumbangan pada program Inspirasi Ramadan YaPEIM Peringkat Negeri Melaka di Masjid Al-Muttaqin, Kampung Tedong, Merlimau. NSTP/Rasul Azli Samad

YaPEIM salur RM2.5 juta bantu 14,000 penerima

JASIN: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta untuk diagihkan kepada seramai 14,000 penerima terdiri daripada anak yatim, golongan asnaf dan golongan kurang berkemampuan di seluruh negara.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yapeim, Mokhtar Ramli, berkata daripada jumlah itu sebanyak RM168,500 diperuntukkan untuk membantu seramai 1,600 golongan berkemampuan menerusi program Inspirasi Ramadan di negeri Melaka pada tahun ini.

Beliau berkata, menerusi program di Melaka itu, sebanyak 1,000 penerima anak yatim dan pelajar miskin serta 600 penerima daripada keluarga miskin mendapat manfaat apabila masing-masing menerima bantuan sebanyak RM120 dan RM70.

“Bantuan kepada penerima di Melaka membabitkan ini membabitkan 1,000 anak yatim daripada 33 buah sekolah di 11 lokasi, selain 150 keluarga miskin dari tiga lokasi di seluruh negeri ini.

“Kita harap bantuan itu akan dapat meringankan beban golongan yang memerlukan bantuan. Ini adalah program tahunan yang dilaksanakan YaPEIM sejak dahulu lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Inspirasi Ramadan YaPEIM Peringkat Negeri Melaka 2019 yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Adly Zahari di Masjid Al-Muttaqin, di Kampung Tedong, Merlimau, di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Omar Jaafar.

Sementara itu, Adly ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya menyambut baik usaha yang dilakukan oleh YaPEIM kerana ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban yang ditanggung oleh masyarakat.

“Kerajaan negeri mengalu-alukan peranan YaPEIM kerana kira tahu yayasan ini dibangunkan bagi membantu ekonomi masyarakat Islam.

“Selain itu, YaPEIM juga memainkan peranan dengan meringankan beban golongan sasar melalui sumbangan sedekah daripada pencarum dan penyumbang di seluruh negeri serta pembabitan guru di peringkat Jabatan Pendidikan negeri,” katanya.

Berita Harian X