Selasa, 21 Mei 2019 | 11:35pm
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (enam kanan) berkenan bergambar bersama penghulu lapan mukim yang menerima sumbangan cek untuk diserahkan kepada asnaf di pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Perak dan Pelancaran Program Tadabbur Al-Quraan di Masjid Toh Puan Besar Hatijah Kampung Serani, Batu Gajah. - Foto Muhaizan Yahya
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (enam kanan) berkenan bergambar bersama penghulu lapan mukim yang menerima sumbangan cek untuk diserahkan kepada asnaf di pada Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Perak dan Pelancaran Program Tadabbur Al-Quraan di Masjid Toh Puan Besar Hatijah Kampung Serani, Batu Gajah. - Foto Muhaizan Yahya

Sultan Perak hadir di majlis Nuzul Quran

BATU GAJAH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berangkat ke majlis sambutan Hari Nuzul Quran peringkat negeri di Masjid Toh Puan Besar Hatijah, Kampung Serani di sini, malam ini.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan zakat sempena Aidilfitri daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sebanyak RM1.9 juta kepada penghulu dari lapan mukim untuk diserahkan kepada 7,610 penerima yang layak.

Lapan mukim berkenaan adalah Hulu Kinta Ipoh yang menerima sebanyak RM634,750; Ulu Kinta Chemor (RM268,000), Ulu Kinta Tanjung Rambutan (RM262,750), Lahat (RM327,000), Sungai Raia (RM160,250), Sungai Terap (RM156,000), Tanjung Tualang (RM48,500) dan Belanja Tronoh (RM45,250).

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Terdahulu, keberangkatan tiba Sultan Nazrin pada jam 7 petang disambut Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Yang turut hadir mengiringi, barisan Exco Kerajaan Negeri; Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Mohd Yusop Husin serta ketua jabatan.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran yang dibacakan oleh Imam Utama Masjid Panglima Kinta, Qamaruzman Daud, disusuli bacaan Yassin, tahlil serta doa.

Sultan Nazrin pada majlis berkenaan turut berkenan melancarkan Program Tadabbur al-Quran.

Program yang dijalankan dalam bentuk kelas pengajian berjadual itu bertujuan membolehkan masyarakat mempelajari ilmu al-Quran dan pemahaman tafsirnya secara meluas dengan pelaksanaan program di semua jabatan, organisasi dan institusi di seluruh negeri.

Selesai majlis, Sultan Nazrin berkenan menunaikan solat Isyak dan solat Tarawih secara berjemaah sebelum berangkat pulang.

Sementara itu, Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Perak, Datuk Raja Abd Jalil Zaid, turut menyampaikan RM50,000 sebagai zakat fisabilillah kepada pihak pengurusan masjid.

Berita Harian X