Selasa, 21 Mei 2019 | 8:53pm
RAJA Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (kanan), Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (kiri) dan Hannah Yeoh (tengah) mengacau bubur lambuk untuk diagihkan kepada penghuni Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi hari ini. - Foto BERNAMA
RAJA Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (kanan), Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (kiri) dan Hannah Yeoh (tengah) mengacau bubur lambuk untuk diagihkan kepada penghuni Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi hari ini. - Foto BERNAMA

Penghuni STBSB nikmati air tangan Raja Permaisuri Agong

KUALA LUMPUR: Penghuni Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi (STBSB), di sini, amat bertuah dapat menikmati bubur lambuk resipi istimewa Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, sebagai juadah berbuka puasa.

Kepakaran dan kelincahan Tunku Azizah memasak bukan lagi asing memandangkan baginda memang terkenal dengan hobi memasak.

Baginda yang tiba pada jam 10.15 pagi, disambut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Rose Lena Lazemi; serta warga kerja STBSB.

Sebaik saja mengenakan apron, Tunku Azizah terus menyingsing lengan untuk menyediakan dua kawah bubur lambuk ayam dan daging dengan dibantu Yeoh serta beberapa warga kerja STBSB.

Antara bahan digunakan baginda ialah santan, lada hitam, halia, bawang dan kerisik.

Selepas tekun memasak kira-kira sejam, baginda berkenan meluangkan masa melawat bengkel kemahiran sebelum menyampaikan bantuan Hari Raya kepada penghuni STBSB yang berumur sembilan hingga 18 tahun.

Bantuan itu sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Ahmad Zaki Resources Berhad.

Bubur lambuk hasil air tangan baginda itu turut disediakan dalam 100 bungkusan untuk diagih kepada penghuni sekolah berkenaan sebagai juadah berbuka.

Sementara itu, Pengetua STBSB, Muhammad Razmee Abd Razak pula menyifatkan kunjungan berkenaan sebagai suatu rahmat apabila mendapat tahu ia adalah hasrat dan inisiatif Tunku Azizah sendiri.

Ditanya maklum balas penghuni sekolah itu apabila mendapat tahu mengenai kunjungan Tunku Azizah, Muhammad Razmee berkata, kesemua mereka berasa amat dihargai, lebih-lebih lagi pada Ramadan yang mulia ini.

“Pada mulanya, mereka tidak percaya apabila saya beritahu. Ini kerana saya sering bergurau dengan mereka dan sehinggalah ada raptai, baru mereka percaya,” katanya.

STBSB yang menempatkan 118 penghuni lelaki adalah institusi kanak-kanak di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak 1970, dan ditubuhkan bagi tujuan pendidikan, latihan serta penahanan bawah Seksyen 65 Akta Kanak-Kanak 2001. – BERNAMA

Berita Harian X