Selasa, 21 Mei 2019 | 6:29pm
DATUK Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah (dua dari kiri) melawat tapak projek PR1MA Residensi Lubok Jong, Pasir Mas. - NSTP/Zaman Huri Isa

Kajian penstrukturan agensi perumahan siap akhir Jun ini

PASIR MAS: Kajian penstrukturan semula empat agensi perumahan negara termasuk Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dijangka selesai selewat-lewatnya akhir bulan depan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah, berkata kajian berkenaan dilakukan syarikat profesional dilantik kerajaan.

Beliau berkata, kajian berkenaan penting bagi mengelak berlaku pertindihan tugas dan mendapatkan sebuah pangkalan data, sekali gus mewujudkan satu sistem pengurusan perumahan yang lebih efisien

Katanya, sebaik pembentangan kajian itu dibuat, pihaknya akan membuat keputusan untuk penstrukturan semula supaya satu organisasi lebih efisien serta mantap dapat diurus.

“Setakat ini, ada empat agensi sehingga berlaku banyak pertikaian. Ramai mendakwa mereka sudah lama berdaftar sehingga berbelas tahun, namun masih belum mendapat rumah.

“Justeru, apa yang penting kita perlukan pangkalan data supaya berlaku adil kepada semua yang layak dan tidak timbul sebarang pertikaian.

“Perlu ada sistem perumahan yang efisien, malah sistem berkenaan juga membantu golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) B40 mendapatkan rumah,” katanya pada sidang media selepas melawat pembinaan PR1MA Lubok, Jong, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan institusi kewangan bagi membolehkan golongan B40 memperoleh pinjaman.

Berita Harian X