Selasa, 21 Mei 2019 | 3:34pm
Dr Quaza (kiri) diberi penerangan pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengenai makanan tambahan untuk makanan haiwan selepas Majlis Taklimat Perternak Jajahan Tumpat, di Pertubuhan Peladang Kawasan Bakat Baru, Tumpat. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Penyakit kuku dan mulut ternakan lembu serius

TUMPAT: Sebanyak 10 kes wabak penyakit kuku dan mulut membabitkan ternakan lembu dikesan di seluruh negara sepanjang empat bulan pertama tahun ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam, berkata angka itu agak serius dan dibimbangi akan terus meningkat, berbanding sebanyak 35 kes sepanjang tahun lalu.

“Tiga negeri yang paling tinggi mencatatkan angka kejadian wabak ini Pahang, Johor dan Melaka.

“Penyakit kuku dan mulut sebenarnya mudah dicegah iaitu melalui suntikan dan kuarantin, namun kesedaran dalam kalangan penternak mungkin belum lagi meningkat,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama penternak di Pertubuhan Peladang Kawasan Bakat Baru, di sini, hari ini.

Dr Quaza berkata, Kelantan dikenal pasti sebagai laluan utama kemasukan lembu dari negara jiran menerusi laluan tikus dan disebabkan itu, haiwan terbabit tidak menerima suntikan serta kuarantin.

Katanya, pengeksportan lembu dari Thailand tidak dihalang, namun perlu menjalani proses kuarantin dan suntikan bagi mencegah ternakan itu mati, seterusnya merugikan penternak sendiri.

“Di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Rantau Panjang, kita ada disediakan tempat untuk suntikan dan kuarantin, malah perkhidmatan itu juga ada di kaunter swasta.

“Jadi, tiada alasan untuk penternak memandang ringan terhadap wabak penyakit itu kerana boleh merugikan negara dan semua orang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Quaza, berkata Kelantan mempunyai potensi besar dalam mengembangkan lagi industri penternakan, termasuk penyediaan daging atau lembu hidup.

Beliau berkata, terdapat kira-kira 20,000 induk kacukan lembu sado yang terdiri daripada baka Chevrolet serta Limosin yang kebanyakannya diternak di Bachok dan Pasir Puteh.

“Ia diternak hampir 300 penternak yang ada dalam kalangan mereka menjana pendapatan mencecah RM5,000 sebulan.

“Saya yakin ini dapat dikembangkan lagi dengan penambahan pengetahuan yang cukup dan lebih banyak latihan mengenai makanan yang sesuai, kaedah biak baka serta kesihatan haiwan itu,” katanya.

Berita Harian X