Isnin, 20 Mei 2019 | 11:25am
HAZANI Ghazali
HAZANI Ghazali

ESSCOM perhebat operasi kekang jenayah rentas sempadan musim perayaan

SANDAKAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mempertingkatkan operasi di perairan sempadan bagi mengekang jenayah rentas sempadan khususnya aktiviti keluar masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) menjelang Aidilfitri.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali, berkata operasi diperhebat bermula Sabtu lalu membabitkan kerjasama pelbagai agensi dan pasukan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Beliau berkata, selain di perairan sempadan, pihaknya turut memberi tumpuan terhadap laluan tikus dipercayai digunakan penjenayah rentas sempadan untuk membawa masuk PATI atau penyeludupan barang terlarang pada musim perayaan.

“Dalam usaha perhebatkan operasi, selain menambah aset melakukan operasi, kita juga pertingkatkan risikan mengenai aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Kita sedar menjelang Aidilfitri, aktiviti keluar masuk PATI ke negara jiran dan penyeludupan barang mungkin meningkat. Jadi, operasi diperhebat sejak Sabtu lalu untuk memastikan negeri ini sentiasa selamat daripada ancaman luar,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Hazani berkata, pemeriksaan juga dilakukan bukan saja terhadap setiap bot di tengah laut, malah kapal kumpit yang digunakan untuk aktiviti perdagangan tukar barang atau ‘barter trade’ antara Sabah dengan Filipina dan Indonesia.

Katanya, ia susulan kemungkinan kapal terbabit turut digunakan sebagai pengangkutan oleh PATI untuk aktiviti keluar masuk secara haram ke negeri ini menjelang Aidilfitri.

“Setiap pengangkutan di laut akan periksa untuk pastikan tiada elemen jenayah rentas sempadan. Selain memerangi kemasukan PATI dan barang terlarang, usaha ini penting bagi mengekang unsur jenayah lain termasuk pencerobohan pengganas dan penculikan,” katanya.

Hazani berkata, selain di sempadan perairan, operasi khas juga dilaksanakan di pusat pemeriksaan daratan atau ‘road check point’ (RCP) di Sapi Nangoh, Beluran dan di Kalabakan, Tawau bagi memperketat kawalan di daratan.

Berita Harian X