Sabtu, 18 Mei 2019 | 1:42pm
Tunku Azizah mengacau bubur lambuk di Masjid Jamek Kampung Baru. - Ihsan Twitter BERNAMA
Tunku Azizah mengacau bubur lambuk di Masjid Jamek Kampung Baru. - Ihsan Twitter BERNAMA
Orang ramai teruja kerana berpeluang melihat sendiri dari dekat Tunku Azizah memasak bubur lambuk di Masjid Jamek Kampung Baru. - Ihsan Twitter BERNAMA

Bubur lambuk Raja Permaisuri Agong curi tumpuan

KUALA LUMPUR: Bubur lambuk menggunakan resepi dan air tangan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, mencuri tumpuan ahli kariah dan orang ramai di Masjid Jamek Kampung Baru yang teruja kerana berpeluang melihat sendiri dari dekat baginda memasak makanan tradisi bulan Ramadan itu.

Melalui Program Bubur Lambuk Perdana Masjid-Masjid di Wilayah Persekutuan 2019 anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) itu, Tunku Azizah berkenan memasak dua kawah bubur lambuk daging dan ayam menggunakan resepi baginda sendiri dalam tempoh dua jam.

Bubur lambuk air tangan Raja Permaisuri Agong itu kemudiannya dipek dalam 1,000 bekas sebelum ia dijangka dapat dirasai wakil ahli kariah daripada 70 buah masjid di Wilayah Persekutuan, orang kenamaan, kakitangan JAWI dan orang ramai.

Baginda juga berkenan mengedarkan bubur lambuk itu kepada wakil masjid daripada tujuh zon di Wilayah Persekutuan selepas melawat khemah yang menempatkan 68 kawah bubur lambuk dimasak wakil kariah masjid dan satu kawah dimasak oleh Persatuan Anak Melayu Johor.

Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail, berkata program ini yang pertama kali dianjurkan secara bersama dan ia lebih istimewa apabila turut diserikan dengan kehadiran Raja Permaisuri Agong yang berkenan untuk memasak sendiri dua kawah bubur lambuk.

Tunku Azizah (kanan) dibantu Rina ketika menyediakan bubur lambuk resipi istimewa baginda pada Program Bubur Lambuk Perdana Masjid-Masjid di Wilayah Persekutuan anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutan (JAWI) di Masjid Jamek Kampung Baru hari ini. - Foto BERNAMA

Tunku Azizah ketika menyediakan bahan-bahan untuk bubur lambuk resipi istimewa baginda pada Program Bubur Lambuk Perdana Masjid-Masjid di Wilayah Persekutuan 2019 - Foto BERNAMA
Tunku Azizah ketika menyediakan bahan-bahan untuk bubur lambuk resipi istimewa baginda pada Program Bubur Lambuk Perdana Masjid-Masjid di Wilayah Persekutuan 2019 - Foto BERNAMA

Beliau berkata, dua kawah bubur lambuk yang dimasak oleh Raja Permaisuri Agong itu adalah sebahagian daripada keseluruhan 71 buah kawah bubur lambuk yang dimasak secara gotong-royong melalui program berkenaan.

“Acara memasak bubur lambuk sempena Ramadan ini adalah amalan tradisi di 70 buah masjid di Wilayah Persekutuan namun pada tahun ini, JAWI mengambil inisiatif untuk membabitkan semua masjid secara bersama.

“Malah ia bertambah istimewa apabila Raja Permaisuri Agong turut menyediakan sendiri bubur dengan resepi istimewa yang mencuri tumpuan orang ramai di sini.

“Secara keseluruhan sebanyak 71 kawah bubur lambuk termasuk satu penyertaan daripada Persatuan Anak Melayu Johor dimasak dalam tempoh tiga jam dan kita anggarkan ia boleh dipek dalam 13,600 bekas sebelum diagihkan,” katanya kepada pemberita, di sini.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Seri Syed Hussien Abd Kadir dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIWP, Datuk Abd Aziz Jusuh.

Pada masa sama beliau berkata, inisiatif JAWI bersama rakan strategik antaranya Istana Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan MAIWP menyerlahkan fungsi masjid sebagai pusat penyatuan umat dan aktiviti kemasyarakatan.

Sementara itu, ahli kariah Masjid Jamek Kampung Baru, Siti Wahab, 65, berkata dia sangat teruja dan seronok dapat melihat sendiri Raja Permaisuri Agong memasak secara langsung buat pertama kali.

Siti yang sudah 10 tahun menjadi ahli kariah masjid di Kampung Baru, berkata besar harapannya dapat merasai sendiri bubur lambuk istimewa itu sebagai juadah berbuka.

“Makcik seronok sangat sebab tak pernah ada keadaan macam ini sebelum ini di sini di mana kita dapat tengok Raja Permaisuri Agong memasak sendiri bubur lambuk, ” katanya.

Berita Harian X