Rabu, 15 Mei 2019 | 6:23pm
MOHD Khairuddin (kanan), V Mohanadas (kiri) menyerahkan faedah pengurusan jenazah dan faedah pencen penakat kepada anak Anuar Abu Bakar iaitu Amriq Shah (dua dari kiri) dan Iman Shah (dua dari kanan) di Seksyen 9, Shah Alam. - NSTP/Faliq Lajim
MOHD Khairuddin (kanan), V Mohanadas (kiri) menyerahkan faedah pengurusan jenazah dan faedah pencen penakat kepada anak Anuar Abu Bakar iaitu Amriq Shah (dua dari kiri) dan Iman Shah (dua dari kanan) di Seksyen 9, Shah Alam. - NSTP/Faliq Lajim

Balu Anuar Abu Bakar terima pencen bulanan PERKESO

SHAH ALAM: Balu bekas pemain bola sepak kebangsaan era 1990-an, Allahyarham Anuar Abu Bakar hari ini menerima faedah pencen penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Siti Mariam Sathawee, 46, menerima faedah bulanan RM1,500 sebulan dan faedah pengurusan jenazah berjumlah RM2,000.

“Saya bersyukur apabila menerima faedah pencen ini kerana secara tidak langsung ia mampu membantu dalam membesarkan lima anak kami yang masih belajar.

“Kami tiada pendapatan tetap malah saya juga tidak bekerja. Justeru dengan faedah yang kami terima ini ia boleh membantu kami meneruskan kehidupan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Seksyen 9, di sini.

Faedah itu diserahkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman disaksikan Pengurus PERKESO Klang, V Mohanadas.

Siti Mariam berkata, anak sulung mereka, Najwa Natasha, 24, memberitahu akan membantunya selepas tamat pelajaran Ijazahnya dalam bidang kewangan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka tidak lama lagi.

Selain Najwa, Anuar, 48, turut meninggalkan empat lagi anak iaitu Aliah Atikah, 22; Amriq Shah, 20; Iman Shah, 17 dan Siti Khadeeja, 10 tahun.

Tambah Siti Mariam, anak keempatnya iaitu Iman Shah dilihat ingin mengikut jejak ayahnya dalam sukan bola sepak.

“Iman sekarang tengah bermain untuk Piala Belia Universiti Teknologi MARA (UiTM). Sebelum ini, dua tahun dia berada di Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Namun, tahun ini, saya suruh dia pulang supaya senang saya memantau pelajarannya berikutan akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Iman Shah berkata, ayahnya berpesan agar memberi tumpuan dalam sukan bola sepak jika dia serius dalam bidang ini.

“Ayah berpesan agar sentiasa berdisiplin dan main elok-elok. Itu menjadi pencetus semangat saya dan saya akan pegang nasihat ayah sepanjang saya bermain bola,” katanya.

Sementara itu, Mohanadas berkata arwah sudah mencarum dengan PERKESO sejak Oktober 1989 yang melayakkan balu serta anak kepada arwah anak Anuar menerima pencen berkenaan.

Berita Harian X