Selasa, 14 Mei 2019 | 8:27pm
SAIFUDDIN Nasution Ismail (dua dari kanan) menyaksikan Anggota Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad (kanan) melakukan imbasan kod unik QR Touch N Go e-wallet untuk membuat pembelian sewaktu melakukan lawatan dan tinjauan pada Program 'Raya Sempoi With Touch N Go E-Wallet' di Bazar Ramadan Jalan Raja Alang. - Foto BERNAMA
SAIFUDDIN Nasution Ismail (dua dari kanan) menyaksikan Anggota Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad (kanan) melakukan imbasan kod unik QR Touch N Go e-wallet untuk membuat pembelian sewaktu melakukan lawatan dan tinjauan pada Program 'Raya Sempoi With Touch N Go E-Wallet' di Bazar Ramadan Jalan Raja Alang. - Foto BERNAMA

Bazar Ramadan di seluruh negara terus dipantau

KUALA LUMPUR: Sejumlah 447 notis amaran dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terhadap pengusaha premis makanan di seluruh negara sejak hari pertama Ramadan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata notis itu dikeluarkan susulan pemeriksaan ke atas 34,983 premis makanan, termasuk di bazar Ramadan.

Katanya, pihak kementerian menjalankan pemeriksaan ke atas premis makanan di bazar Ramadan setiap hari bagi memastikan komuniti peniaga sentiasa mematuhi peraturan dikuatkuasakan.

“Bagi pemeriksaan di sekitar Lembah Klang, sebanyak 833 premis bazar Ramadan sudah diperiksa dengan hanya 44 notis amaran dikeluarkan berikutan kegagalan meletakkan tanda harga.

“Biarpun amaran yang dikeluarkan mencecah 1,000 notis namun ia dianggap masih kecil dan ini jelas menunjukkan peniaga kini mempunyai kesedaran mengenai undang-undang yang ditetapkan,” katanya selepas menjalankan pemeriksaan di Bazar Ramadan Jalan Raja Alang, di sini hari ini.

Beliau turut meninjau pelaksanaan bazar Ramadan tanpa tunai pertama membabitkan program Touch ‘n Go eWallet membabitkan 400 pengusaha bazar yang menggunakan transaksi dengan mengimbas kod QR peniaga.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd, Syahrunizam Samsudin, berkata orang ramai boleh boleh membuat pembayaran pelbagai juadah dengan menggunakan aplikasi terbabit yang memudahkan urusan pembelian.

“Kami jangkakan transaksi membabitkan penggunaan aplikasi ini sebanyak 10 peratus dan ini sudah cukup memadai bahawa ia diterima orang ramai dan peniaga,” katanya.

Berita Harian X