Sabtu, 11 Mei 2019 | 5:37pm
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bersama bekas Ahli Kumpulan Search, Yazit Ahmad pada Ziarah Mahabbah Ramadhan, di Wangsa Maju. - Foto Mahzir Mat Isa
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bersama bekas Ahli Kumpulan Search, Yazit Ahmad pada Ziarah Mahabbah Ramadhan, di Wangsa Maju. - Foto Mahzir Mat Isa

Tanya peguam - Anwar

KUALA LUMPUR: Dakwaan pemimpin Pakatan Harapan (PH) bahawa Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, mengeluarkan kenyataan memperlekeh Yang di-Pertuan Agong berhubung pengampunan diraja diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu ditafsir pengamal undang-undang.

Anwar ketika ditemui media di sini hari ini, berkata kenyataan Takiyuddin itu perlu diteliti menerusi saluran undang-undang.

“Saya banyak lagi kerja lain (nak buat) daripada perlu melayan dia (Takiyuddin).

“Tanya peguam... tanya peguam,” katanya ketika ditanya sama ada bersetuju dengan pemimpin PH bahawa kenyataan Takiyuddin disifatkan sebagai memperlekeh Yang di-Pertuan Agong.

Selain Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut mempersoalkan kenyataan Takiyuddin itu.

Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Faiz Fadzil pula menyifatkan kenyataan Takiyuddin sebagai celupar dan tidak menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Pada 16 Mei tahun lalu, Anwar mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V selepas dijatuhi hukuman penjara oleh mahkamah atas kes liwat dihadapinya.

Rayuan pengampunan penuh Anwar sebelum itu dibentangkan dan dipertimbangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ke-51 pada hari sama pengampunan diberi.

Pengampunan itu dibuat selaras Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, dengan Yang di-Pertuan Agong menitahkan perkenan bahawa rayuan penuh Anwar dibenarkan dan diberikan pembebasan serta merta.

Terdahulu, Anwar mengadakan kunjungan dan ziarah ke kediaman bekas pemain dram kumpulan Search, Yazit Ahmad yang menghidap penyakit buah pinggang sejak 10 tahun lalu, sehingga memerlukan bantuan kewangan untuk menampung kos rawatannya.

Anwar yang tiba jam 3.20 petang, meluangkan hampir 25 minit di kediaman Yazit di Wangsa Maju untuk bertanya khabar dan berbual santai bersama pemain dram terkenal itu.

Dalam perbualannya bersama Anwar itu, Yazit menceritakan mengenai kesukarannya dialami terutama dalam mencari dana untuk menampung kos rawatan hospital.

Hari ini, Anwar juga mengunjungi pendakwah terkenal, Datuk Ismail Kamus yang sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) selepas menjalani pembedahan jantung.

Berita Harian X