Khamis, 9 Mei 2019 | 5:10pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. (PICC). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. (PICC). - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Kemakmuran Bersama inisiatif baharu agih kekayaan negara - PM

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperkenalkan inisiatif baharu dikenali Kemakmuran Bersama, iaitu pembangunan yang tidak hanya dinilai melalui angka, sebaliknya pembangunan dan kekayaan harus diagih lebih adil supaya semua rakyat dapat merasainya.

Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Kemakmuran Bersama antara lain bermaksud usaha menjadikan Malaysia negara ‘yang terus menerus membangun secara mampan, seiring pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif (equitable growth) di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi’.

Perdana Menteri berkata, inisiatif berlandaskan tujuh teras itu akan mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan dalam kalangan rakyat menjelang tahun 2030.

“Matlamat Kemakmuran Bersama adalah untuk menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat,” katanya dalam Perutusan Setahun Malaysia Baharu di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, anggota Kabinet serta kepemimpinan PH daripada empat parti komponen.

Perdana Menteri berkata, Kemakmuran Bersama dibangunkan untuk memastikan ia mencapai tiga objektif utama.

Pertama, katanya, untuk memastikan Jurang Pendapatan dan Kekayaan rakyat dapat ditangani, iaitu kerajaan berhasrat merapatkan jurang kekayaan antara kelas, kaum, wilayah dan rantaian bekalan bagi membawa bersama rakyat yang ketinggalan supaya terbela dan diperkasakan.

“Objektif kedua ialah Kemakmuran Bersama adalah Model Pembangunan Baharu untuk semua, iaitu mencipta ekonomi lebih terstruktur progresif, berpaksikan ilmu dan bernilai tinggi dengan penyertaan masyarakat yang menyeluruh di semua peringkat.

“Ketiga, untuk Malaysia yang lebih cemerlang dan menjadi salah satu paksi ekonomi penting di Asia. Ia bermaksud menjadikan Malaysia negara yang bersatu, makmur dan bermaruah seterusnya muncul paksi ekonomi Asia,” katanya.

Dr Mahathir berkata, sepanjang dekad lalu, ekonomi negara berubah secara radikal dan ini menyebabkan hasrat menjadi negara maju seperti disandarkan dalam Wawasan 2020 tidak tercapai.

“Pendapatan tinggi tidak bermakna mewah. Realitinya walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan nilai pendapatan negara meningkat, namun nikmat kekayaan negara tidak dapat dirasai oleh rakyat kerana dengan hanya berpendapatan tinggi tetapi daya keluaran (produktiviti) di tahap lama.

“Dengan itu kos barangan dan khidmat akan menjadi tinggi dan sara hidup meningkat. Dengan ini pendapatan yang tinggi tidak akan menaikkan daya beli kita.

“Model Ekonomi dekad lalu hanya menumpukan kepada penambahan hutang negara untuk projek mega, peningkatan jumlah pekerjaan yang 70 peratus darinya terdiri pekerjaan berkemahiran rendah.

“Pemilikan ekuiti lebih banyak bertukar kepada pemilikan asing, pertumbuhan ekonomi terfokus kepada beberapa bandar raya utama dan mengenepikan pertumbuhan dan pemilikan ekuiti dan peluang kepada rakyat tempatan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, ia menjadi lebih parah apabila nilai integriti menjunam dan rasuah melambung tinggi kerana ramai mencontohi kepemimpinan utama negara yang lalu dan tanpa malu dan secara berleluasa menggunakan jenama ‘Bumiputera’ untuk kepentingan peribadi dan kemewahan diri.

Berita Harian X