X
Ahad, 5 Mei 2019 | 1:10pm
LIM Guan Eng menyampaikan ucapan dasar ketika Persidangan Parti DAP 2019 di IDCC Shah Alam. - Foto Saddam Yusoff
LIM Guan Eng menyampaikan ucapan dasar ketika Persidangan Parti DAP 2019 di IDCC Shah Alam. - Foto Saddam Yusoff

Tiada pertikaian antara Kerajaan Persekutuan-Istana Johor - Guan Eng

SHAH ALAM: Tiada pertikaian antara Kerajaan Persekutuan dengan Istana Johor seperti didakwa beberapa pihak, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP menegaskan parti itu sentiasa berpegang teguh dengan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Apa saja yang berkait dengan Perlembagaan Persekutuan, ia diputuskan Perdana Menteri, jadi kita beri keyakinan penuh kepada beliau,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar Konvensyen DAP 2019, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas hubungan ‘panas’ antara Kerajaan Persekutuan dan Istana Johor.

Sementara itu mengulas ketidakhadiran Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad pada majlis perasmian Konvensyen DAP tidak wajar dijadikan isu.

Guan Eng menjelaskan Ahli Parlimen Langkawi itu mempunyai program lain bersama isterinya.

Sehubungan itu, katanya, DAP menghormati keperluan Dr Mahathir untuk menunaikan janjinya menghadiri program di Ipoh, bersama Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, hari ini.

“Kadangkala kita kena hormati temujanji yang sudah dibuat secara lebih awal, justeru tiada masalah kalau Tun M (Dr Mahathir) tak sempat (hadir).

“Kita undang Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Umum PH), saya rasa itu (kegagalan Dr Mahathir untuk hadir) bukan isu,” katanya.

Terdahulu, agenda perasmian Konvensyen DAP 2019 yang kali pertama diadakan pasca setahun peralihan tampuk pemerintahan kerajaan menyaksikan tiga pemimpin utama menyampaikan ucaptama.

Tirai perasmian dimulakan menerusi ucapan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai dan disusuli Guan Eng, sebelum ditamatkan Anwar yang diundang menggantikan Dr Mahathir.

Berita Harian X