X
Sabtu, 4 Mei 2019 | 2:06pm
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dalam sidang media pencapaian setahun Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) di bawah kerajaan Pakatan Harapan baru-baru ini. - Foto BERNAMA
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dalam sidang media pencapaian setahun Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) di bawah kerajaan Pakatan Harapan baru-baru ini. - Foto BERNAMA

MESTECC sediakan dana RM24 juta untuk geran penyelidikan

PUTRAJAYA: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) menyediakan dana bagi geran penyelidikan dan pembangunan (R&D) berjumlah RM24 juta tahun ini bagi meningkatkan ekonomi dan mencipta kekayaan negara melalui bidang sains dan teknologi.

Menterinya, Yeo Bee Yin, berkata 50 peratus daripada dana itu diperuntukkan bagi penyelidikan industri termasuk menempatkan penyelidik di MESTECC ke sektor swasta dengan berkongsi maklumat dan hasil penyelidikan.

“Kita menyasarkan untuk mendapatkan lebih banyak geran pada tahun depan dan antara yang kita laksanakan ialah membuka peluang potensi penggunaan 1,200 peralatan saintifik kepada sektor industri dan swasta dengan berkongsi peralatan itu dalam usaha merancakkan lagi kerjasama R&D.

“Fasiliti Perkongsian Kemudahan dan Peralatan Saintifik Nasional atau NSFE ini adalah inisiatif MESTECC bagi menggalakkan sektor industri untuk bekerjasama dengan sektor awam yang akan meningkatkan sumbangan perbelanjaan sektor industri dalam R&D mencapai sehingga 70 peratus,” katanya pada sidang media setahun pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di sini.

Secara keseluruhan, MESTECC menggariskan sebanyak 73 inisiatif dalam lima sektor dalam tempoh 10 bulan ini, di mana 17 daripadanya di bawah sektor Sains, Teknologi dan Inovasi.

Bee Yin berkata pihaknya juga melaksanakan program Penukaran Saintifik Penyelidik Industri (RISE) dengan menghantar 100 penyelidik dari MESTECC di sektor swasta dalam tempoh enam bulan hingga dua tahun untuk berkongsi data dan peralatan.

“Kita juga membangunkan inisiatif perkongsian data secara terbuka bagi memastikan ia boleh dikongsi antara penyelidik di seluruh negara supaya mereka lebih kompetitif... kita menjangkakan dalam tempoh dua tahun ini ada platform terbaru dengan perbincangan diadakan bersama universiti penyelidikan,” katanya.

Beliau berkata kementerian juga akan menubuhkan pusat sains bergerak ke seluruh negara termasuk di luar bandar dengan sasaran 600,000 pelajar akan mendapat manfaat daripadanya dalam menggalakkan mereka meminati bidang sains dan teknologi.

Bee Yin berkata, kementeriannya juga memberi lebih fokus pada pertumbuhan tenaga hijau, antaranya dengan memperuntukkan tender 500 megawatt bagi tenaga solar berskala besar bulan lalu yang bernilai RM2 bilion.

"Kita mendapat maklum balas menggalakkan apabila berjaya menjual 719 dokumen tender solar berskala besar yang ditawarkan bulan lalu," katanya.

Beliau berkata, menerusi tiga insentif pembiayaan hijau iaitu Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS), Potongan Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE), pihaknya berjaya meningkatkan daripada sembilan aktiviti dalam sektor itu kepada 40 aktiviti untuk tahun ini.

"Pertumbuhan industri hijau penting. Contohnya, setiap satu gigawatt dihasilkan daripada loji jana kuasa konvensional menghasilkan 0.06 peluang pekerjaan, sedangkan satu gigawatt dihasilkan tenaga solar bersamaan enam peluang pekerjaan," katanya.

Selain itu, kementeriannya juga memperbaharui program pemeteran tenaga bersih (NEM) yang berjaya meningkatkan penggunaan teknologi solar di kilang, pusat beli belah dan premis pekerjaan.

"Dahulu kita jual tenaga elektrik solar kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada harga 31 sen per kwh kilowatt-jam dan membelinya semula pada harga kira-kira 50 sen per kilowatt-jam.

"Menerusi pembaharuan NEM bermula Januari lalu, harga jual dan beli adalah sama dan maklum balas industri menggalakkan apabila sebanyak 11 megawatt daripada 500 megawatt diperuntukkan, dijual dalam tempoh dua bulan berbanding hanya 17 megawatt dalam tempoh tiga tahun ketika dilaksanakan kerajaan lalu," katanya.

Bagi sektor perubahan iklim pula, pihaknya akan menubuhkan Pusat Perubahan Iklim dengan memanfaatkan peruntukkan dan agensi sedia ada untuk mengkaji kesan terhadap aspek itu dan bagaimana Malaysia boleh bersedia menghadapi perkara berkenaan.

Beliau turut menyifatkan setahun bukan tempoh yang mencukupi untuk menilai kerajaan baharu berikutan PH terpaksa mewarisi daripada kerajaan terdahulu yang ‘sukar’ dan penuh mencabar.

Namun, katanya, apa yang penting ialah kerajaan belajar dan membaiki kekurangan daripada pentadbiran terdahulu daripada hanya menyalahkan mereka.

“Tidak berguna jika menyalahkan sesiapa tetapi yang paling penting ialah kita buat yang terbaik... kerajaan tidak akan boleh jadi sempurna tetapi persoalannya adakah kita sudah membuat yang terbaik... ini kerana kuasa yang besar datang dengan tanggungjawab yang berat, ” katanya.

Berita Harian X