Jumaat, 3 Mei 2019 | 10:17pm
Dr Mahathir diiringi Syed Saddiq merasmikan MFLS di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya, malam ini. - - NSTP/Eizairi Shamsudin

MFLS mampu lahirkan pemimpin bertaraf dunia

KUALA LUMPUR: Malaysia mampu melahirkan ramai pemimpin bertaraf dunia yang mengekalkan nilai-nilai Timur menerusi program Sekolah Kepemimpinan Masa Depan Malaysia (MFLS).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika melancarkan MFLS, sebentar tadi menegaskan, Malaysia perlu mencontohi kejayaan Jepun dan Korea Selatan yang membuktikan mereka lebih bagus daripada negara Barat dalam sektor tertentu.

“Saya cukup yakin kita mampu melahirkan ramai pemimpin bertaraf antarabangsa yang masih mengekalkan nilai-nilai Timur.

“Ia akan bermula di sini (MFLS). Kita mesti bekerja kuat, tidak boleh berputus asa dan mesti mencuba berulang kali jika gagal.

“Kita mesti yakin kita berupaya dan mampu menjadi lebih baik daripada yang lain,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian MFLS di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM), di sini.

Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Bagi mencapai matlamat itu, Perdana Menteri berkata, peserta MFLS khasnya perlu sentiasa mengekalkan tahap disiplin tinggi, mementingkan kualiti, menerapkan nilai-nilai positif serta mempunyai semangat patriotik tinggi.

MFLS yang menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN) dilancarkan dengan matlamat melahirkan pemimpin muda berwawasan yang berintegriti dan beramanah.

Seramai 500,000 pelajar berusia 15 dan 17 tahun akan dipilih di peringkat sekolah untuk menyertai saingan pertama (Tier 1).

Daripada jumlah itu, 35,000 peserta akan dipilih ke peringkat Tier 2 untuk menyertai latihan di 16 Kem Wawasan di seluruh negara.

Selepas latihan selama 10 hari, hanya 200 peserta terbaik akan dipilih untuk mendapat pendedahan di semua bidang berkaitan termasuk politik, perniagaan dan kemasyarakatan.

Dr Mahathir berkata, hasil kejayaan membentuk generasi pemimpin muda itu nanti bakal memberi faedah dan kesan besar kepada negara.

“Kita perlu bersedia dengan ledakan Revolusi 4.0. Memang ada kesan negatif daripada perkembangan teknologi ini tetapi bagaimana kita mahu memastikan ia sentiasa memberi manfaat atau kesan positif.

“Sumber rujukan anak muda sekarang ialah internet dan media sosial tanpa menyiasat adakah fakta itu betul atau tidak.

“Pemimpin yang bijak sentiasa menjadikan semua itu sebagai cabaran, sentiasa bersedia kerana mereka berpegang kepada nilai-nilai murni yang menjadi amalan dan budaya masyarakat,” katanya.

Berita Harian X