Jumaat, 3 Mei 2019 | 7:02pm
- Foto Hiasan

Cuaca panas dijangka hingga pertengahan September

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka mengalami lebih banyak bilangan hari tanpa hujan apabila Monsun Barat Daya yang bermula 6 Mei ini akan berterusan sehingga pertengahan September.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (METMalaysia), Alui Bahari, berkata ketika Monsun Barat Daya, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan keadaan atmosfera lebih kering dan kelembapan udara yang rendah.

Katanya, ia akan menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh monsun itu.

“Kebanyakan negeri akan mengalami lebih banyak bilangan hari tanpa hujan berbanding bilangan hari hujan ketika Monsun Barat Daya.

“Keadaan ini menyebabkan taburan hujan yang rendah dan cuaca panas.

“Sepanjang tempoh Monsun Barat Daya ini, taburan hujan di kebanyakan negeri dijangka berada pada paras purata kecuali Melaka, Johor dan Sabah dijangka sedikit di bawah purata,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alui berkata, fenomena garis badai (squall line) yang membawa hujan lebat, angin kencang dan petir bagaimanapun boleh berlaku di kawasan barat Semenanjung dan barat Sabah pada awal pagi.

“Garis badai adalah garisan ribut petir yang terbentuk akibat penumpuan angin dan atmosfera yang tidak stabil serta mempunyai jangka hayat sehingga beberapa jam.

“Maklumat dan ramalan cuaca terkini boleh diperoleh melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial, RakanMET dan Hotline Jabatan Meteorologi Malaysia,” katanya.

Berita Harian X