Khamis, 2 Mei 2019 | 5:48pm
Pengarah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Dr Nor Azimi Yunus pada sidang media mengenai pembedahan Ex- Utero Intrapartum Treatment (EXIT) terhadap janin berusia 37 minggu yang mempunyai ketumbuhan seberat 2.7 kilogram pada bahagian muka dan lehernya di HSNZ hari ini.
 - Foto BERNAMA

HSNZ selamatkan janin hidap ketumbuhan 2.7 kilogram

KUALA TERENGGANU: Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, melakar kejayaan apabila menyelamatkan nyawa janin berusia 37 minggu yang menghidap ketumbuhan seberat 2.7 kilogram (kg) di leher, pada 22 Januari lalu.

Pembedahan Ex-Utero Intrapartum Treatment (EXIT) yang pertama seumpamanya dilakukan hospital di negeri ini membabitkan 30 kakitangan HSNZ termasuk Pakar Anestesiologi, Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT); Pakar Obstetrik dan Pakar Pediatrik hospital berkenaan.

Pengarah HSNZ, Dr Nor Azimi Yunus, berkata pembedahan itu pertama kali diadakan di HSNZ, sekali gus menjadi satu kejayaan membanggakan buat hospital berkenaan walaupun kes seumpama itu sudah beberapa kali dikendalikan hospital di negeri lain.

Beliau berkata, janin seberat 2.5 kilogram itu dikesan menghidap ketumbuhan bersaiz lebih besar daripada badannya iaitu seberat 2.7 kilogram, yang menyebabkan risiko berikutan saluran pernafasannya menjadi sempit.

Katanya, ibu dan bayi selamat menjalani pembedahan di HSNZ yang mempunyai kepakaran dalam bidang itu, selepas dirujuk Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang.

“Janin yang dikandung wanita berumur 23 tahun dari Kuantan dikesan menghidap ketumbuhan ‘Giant Cystic Hygroma’ di leher pada usia 22 minggu.

“Pesakit berkenaan kemudian dirujuk ke HSNZ ketika kandungannya berusia 36 minggu dan menjalani pembedahan ketika usia kandungan 37 minggu pada 22 Januari lalu,” katanya pada sidang media di HSNZ di sini, hari ini.

Katanya, ketumbuhan itu menyebabkan saluran pernafasan janin sempit dan situasi itu sangat merbahaya dan kritikal kepada nyawa ibu jika dilahirkan secara biasa kerana kepala bayi bersama ketumbuhan yang besar akan tersekat di saluran peranakan.

“EXIT ialah pilihan pembedahan terbaik untuk ibu hamil ini bagi menyelamatkan nyawa janin dan dalam masa sama merawat janin ketika pembedahan ‘caeser’, yang mengeluarkan hanya bahagian kepala janin sebelum ia dilahirkan sepenuhnya.

“Doktor pakar kemudian membuka saluran pernafasan janin dan memasukkan tiub pernafasan sementara. Pada masa ini, janin masih mendapat oksigen daripada uri melalui tali pusat.

“Selepas prosedur ini selesai, barulah janin dilahirkan dan tali pusat dipotong serta uri dikeluarkan. Bayi kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Bayi dan menjalani pembedahan pada usia seminggu untuk membuang 90 peratus ketumbuhan,” katanya.

Beliau berkata, 10 peratus lagi ketumbuhan tidak boleh dibuang kerana berada di bahagian dalam saluran pernafasan serta membabitkan saluran pernafasan dan saluran darah utama.

Katanya, bayi akan diberi rawatan susulan dan ubatan untuk memastikan ketumbuhan itu tidak aktif.

Berita Harian X