Isnin, 29 April 2019 | 6:37pm
Saifuddin menyampaikan pek makanan kepada mahasiswa pada perasmian penutup Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa dan Pelancaran 'Food Bank' Siswa di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). - Foto Ghazali Kori
Saifuddin menyampaikan pek makanan kepada mahasiswa pada perasmian penutup Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa dan Pelancaran 'Food Bank' Siswa di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). - Foto Ghazali Kori
Saifuddin menandatangani plak perasmian penutup Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa dan Pelancaran 'Food Bank' Siswa di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). - Foto Ghazali Kori
Saifuddin menandatangani plak perasmian penutup Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa dan Pelancaran 'Food Bank' Siswa di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). - Foto Ghazali Kori

Tak cukup pegawai nak kawal pasar borong

KUALA NERUS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak mampu membuat pemantauan sepanjang masa di pasar borong dan pasar harian daripada dikuasai peniaga warga asing kerana bilangan penguat kuasa terhad.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kerajaan hanya mampu melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan berjadual bagi mengekang masalah itu daripada terus berleluasa.

Beliau berkata, kementeriannya hanya mempunyai 2,294 pegawai penguat kuasa dan adalah mustahil untuk menempatkan mereka memantau pasar borong dan pasar harian selama 24 jam.

“Betul, kita akui warga asing ini kembali berniaga walaupun selepas serbuan dan tangkapan dilakukan terhadap mereka. Sebab itu kita lakukan tindakan berterusan dan bukan bermusim.

“Apabila kita serbu dan ambil tindakan, adakah ia akan terus tamat? Rampasan dan tangkapan dibuat, tetapi mereka (peniaga warga asing) masih ada lagi mendominasi pasar borong dan basah.

“Bolehkah kita letak terus 24 jam untuk pegawai penguat kuasa KPDNHEP jaga satu pasar borong, pada masa sama sempadan negara bolos dengan isu penyeludupan barangan pengguna dan masalah lambakan barangan tiruan yang perlu diambil tindakan.

“Jadi saya fikir, tindakan secara berjadual adalah pendekatan yang lebih praktikal dan realistik,” katanya selepas merasmikan penutupan Majlis Perdana Gerakan Pengguna Siswa (MPGPS) 2019 dan pelancaran Food Bank Siswa UniSZA di sini, hari ini.

Beliau berkata, jawatankuasa khas membabitkan empat kementerian iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Wilayah Persekutuan dan KPDNHEP untuk mengatasi isu itu sudah memulakan beberapa tindakan untuk mengatasi itu berkenaan.

“Jawatankuasa khas ini sudah mengadakan beberapa mesyuarat dan memulakan tindakan yang lebih praktikal untuk banteras masalah ini dengan melakukan serbuan secara berjadual membabitkan penguatkuasa DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur), PBT (pihak berkuasa tempatan), polis dan Jabatan Imigresen.

“Malah kita juga mengalu-alukan laporan media sebagai maklum balas berhubung kehadiran peniaga warga asing ini,” katanya.

Sebelum ini BH melaporkan mengenai dominasi peniaga warga asing di pasar borong dan harian antaranya di Pasar Borong Selayang, Selangor.

Susulan itu kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menangani masalah itu dan serbuan dilakukan di Pasar Borong Selayang baru-baru ini menyaksikan beberapa gerai buah-buahan, sayur-sayuran dan ikan ditutup dan barang jualan dirampas selepas didapati tidak mempunyai permit.

Berita Harian X