Isnin, 29 April 2019 | 12:34pm

Sasar RM10b nilai potensi pelaburan di Expo 2020 Dubai

PUTRAJAYA: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) menyasarkan nilai potensi dan pelaburan lebih RM10 bilion menerusi penyertaan dalam Ekspo 2020 Dubai.

Menteri, Yeo Bee Yin, berkata, ekspo itu berlangsung selama enam bulan bermula Oktober 2020 hingga April 2021 di Pusat Pameran Dubai yang berkeluasan 4.38 kilometer persegi.

Ekspo itu dibahagikan kepada 10 kluster iaitu pendidikan, belia dan usahawan tekno; perdagangan; Revolusi Perindustrian 4.0 dan perkilangan pintar; sains, teknologi, inovasi dan alam sekitar; kelestarian minyak sawit; wanita; pelancongan dan kebudayaan; pertanian; e-dagang dan teknologi komunikasi dan industri halal dan perbankan Islam.

“Nilai potensi dan pelaburan yang disasarkan itu adalah hasil kerjasama strategik dalam urusan pengkomersialan perniagaan dan pemeteraian perjanjian persefahaman.

“Kami juga menyasarkan seramai 200 penyertaan tempatan dalam ekspo ini khususnya daripada kerajaan negeri, agensi kerajaan, swasta dan korporat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya kini mengumpul dana dan penajaan RM60 juta bagi menampung kos menyertai pameran itu.

Joseph Yun (kanan) ketika mewakili Amerika Syarikat pada mesyuarat mengenai nuklear bersama Jepun dan Korea Selatan di Tokyo pada April 2017. Foto AFP
Joseph Yun (kanan) ketika mewakili Amerika Syarikat pada mesyuarat mengenai nuklear bersama Jepun dan Korea Selatan di Tokyo pada April 2017. Foto AFP

Bee Yin berkata, Pavilion Malaysia kali ini berkonsepkan jenama ‘The Butterfly Effect’ yang menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang kecil namun, mempunyai potensi besar dari segi pelaburan.

Katanya, pelbagai aktiviti sudah dirancang di Pavilion Malaysia termasuk pengisian tetap dalam bentuk paparan fizikal; seminar perniagaan dan padanan perniagaan; pengkomersialan aplikasi teknologi; promosi pelancongan dan persembahan kebudayaan serta jualan makanan dan kraftangan.

Agensi pelaksana bagi Ekspo 2020 Dubai adalah Malaysia Green Technology Corporation (MGTC).

Ekspo berkenaan disertai 192 negara dan menyasarkan kunjungan 135,000 pelawat sehari pada hari biasa serta 250,000 sehari ketika acara khas.

Terdahulu, MESTECC menerima penajaan tunai sebanyak RM250,000 daripada syarikat Helios Photovoltaic Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat yang menyediakan sistem penyelesaian tenaga bersih di Asia Tenggara.

Bee Yin (tengah) bersama Ketua Misi Kedutaan UAE, Nailofer Al Bastaki (tiga kanan); Pengarah Urusan Pembangunan Perniagaan Project Helios Photovoltaic Sdn Bhd, Dayang Horyati Abang Sahari (kanan); Timbalan Ketua Setiausaha MESTECC, Dr Mohd Nor Azman Hassan (tiga kiri) dan Pengarah Helios Photovoltaic Sdn Bhd, Makpal Akpayera (dua kanan). Foto Luqman Hakim Zubir

Yeo Bee Yin. - Foto Luqman Hakim Zubir
Yeo Bee Yin. - Foto Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X